Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: ADUN Umno 'takut' lompat parti
Diterbitkan:  Aug 28, 2009 12:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Rancangan sebilangan ADUN Umno Terengganu melompat kepada PKR belum menjadi kenyataan kerana mereka takut berbuat demikian, kata seorang pemimpin PAS negeri.

Pemimpin itu, yang tidak dinamakan, memberitahu media rasmi PAS Harakahdaily.net semalam bahawa memang wujud ura-ura lompat parti "tetapi ia belum berlaku kerana mereka tidak berani."

Sumber itu mempertikaikan laporan yang mendakwa Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib, menghalang usaha menumbangkan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Said dengan cara itu.

"Laporan yang mengatakan Harun adalah penghalang pembentukan kerajaan baru ini berdasarkan persepsi ADUN Umno berkenaan semata-mata kerana hubungan baik antara Harun dengan Ahmad," berita akhbar web itu dipetik.

Sumber yang sama dipetik berkata, jika keadaan memerlukan, "PAS Terengganu akan membuat keputusan bersama dan bukannya berdasarkan pandangan Harun seorang."

Semalam mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh percaya desas-desus sembilan ADUN Umno, termasuk teman dekatnya Datuk Rosol Wahid, akan menyertai PKR adalah tidak benar, lapor Bernama .

Idris, juga ADUN Jerteh, menolak dakwaan itu kerana beliau tidak nampak sebarang reaksi yang mencurigakan daripada kesemua ADUN berkenaan, terutamanya Rosol, yang duduk di sebelahnya dalam dewan DUN.

"Pada pendapat saya, telahan itu tidak benar, malah semasa pembukaan Dewan Undangan Negeri mereka pakai baju biru... biru BN bukan biru muda dan ia tidak dirancang.

"Ini menunjukkan mereka masih menyokong kuat BN," katanya, kini pengerusi MARA selepas merasmikan sambutan kemerdekaan ke-52 Malaysia peringkat ibu pejabat badan berkanun itu semalam.

Kelmarin, Rosol menafikan laporan sebuah portal berita kononnya

beliau dan lapan lagi ADUN bercadang meninggalkan Umno untuk menyertai pembangkang dalam usaha membentuk kerajaan baru bersama PAS.

Agensi berita itu juga melaporkan, pengerusi perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kadangkala isu yang dibangkitkan tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS