Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri diminta berhenti mengeluarkan "kenyataan jahil" berhubung prosedur mahkamah syariah kerana tindakan itu mencampuri urusannya dan boleh dianggap menghina mahkamah, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Timbalan presidennya Muhammad Burok turut menyeru pihak-ihak yang tidak berkaitan dengan urusan perundangan Islam supaya tidak mencampuri urusan mahkamah syariah.

Beliau mengeluarkan amaran ini susulan kenyataan beberapa menteri yang mengulas hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang bersalah mengambil alkohol oleh mahkamah syariah Pahang.

"Apabila umat Islam, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan kita hendak keluarkan kenyataan, yang pertama mesti dapatkan maklumat yang tepat.

"Jangan keluar kenyataan yang menunjukkan kejahilan kamu tentang undang-undang Islam dalam Malaysia dan menunjukkan kita tidak yakin dengan undang-undang Islam ini," katanya.

"Ini adalah amaran kepada sesiapa yang cuba halang hukuman tersebut kerana itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Sesiapa yang menghalang atau cuba menghalang perjalanan kes, itu adalah menghina mahkamah. Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah melakukan kesalah menghina mahkamah, termasuk menteri," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar anjuran gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut mendakwa campur tangan yang wujud daripada menteri telah menyebabkan perjalanan kes ditangguhkan dengan tidak mengikut prosedur. [Baca juga: Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah' ]

“Kes ini telah diputuskan di mahkamah... tetapi bila ada campur tangan pihak tertentu, itu menyebabkan ketidakadilan kepada institusi mahkamah itu sendiri dan juga kepada orang yang dijatuhi hukum.

“Orang itu pula memang hendak menjalani hukuman. Beliau sudah insaf dan mahu menjalani hukuman secepat mungkin, tidak kiralah pada bulan Ramadan atau sebagainya. Kalau kita tidak boleh buat siang sebab berpuasa, kita boleh buat (sebatan) waktu malam,” kata Muhammad lagi.

Menteri dalam negeri kelmarin menegaskan bahawa hukuman ke atas Kartika tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan

Hukuman ditangguhkan kerana ia merupakan kes pertama yang dihadapi, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau juga dilaporkan berkata, Jabatan Penjara perlu dipersiapkan dengan keperluan-keperluan bagi menjalankan hukuman berkenaan.

Bagaimanapun kenyataannya itu dipertikaikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Mohamad Isa Abdul Ralip dengan alasan hukuman tersebut pernah dilaksanakan seperti pernah didedahkan dalam satu seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), April lalu.

Selain PPMM dan PGSM, Pembela turut disertai antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

ADS