Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 4.09pm Selepas menyerbu pejabat Gedung Kartun semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu kilang percetakannya dan merampas plat reka bentuk cetakan majalah humor itu.

Selain merampas 408 naskhah majalah humor politik semalam, kementerian itu juga dikatakan turut mengadakan rampasan serupa di dua buah negeri.

Enam pegawai bahagian penerbitan KDN tiba di K Vin Publisher di Seri Kembangan, Serdang jam 11.30 pagi ini dan berada di situ selama hampir sejam.

Mereka merampas lebihan helaian-helaian majalah edisi sulung "jenaka alternatif" bawah pimpinan kartunis politik terkemuka Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque.

NONE Jumlah kepingan plat yang dirampas dan siapa pegawai KDN yang mengadakan operasi itu belum dapat dipastikan.

Difahamkan syarikat percetakan itu turut dikenakan amaran oleh pegawai KDN yang membuat serbuan agar tidak lagi mencetak majalah yang hanya mendapat permit secara lisan bulan ini.

Zulkiflee ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu tetapi tidak pasti maklumat terperinci.

Beliau juga belum pasti sama ada K Vin Publisher akan menarik diri daripada mencetak edisi kedua Gedung Kartun akibat serbuan kementerian itu.

Malaysiakini gagal mendapatkan reaksi syarikat penerbitan tersebut.

Difahamkan, KDN turut membuat rampasan majalah itu daripada pengedarnya, masing-masing seorang di Perak dan Melaka.

Kira-kira 500 naskhah dirampas di Melaka, manakala 100 lagi di Perak.

Serbuan KDN di pejabat majalah itu di Brickfields, Kuala Lumpur semalam mencetuskan minat besar penyokong pembangkang dan juga pembaca majalah humor.

Serbuan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

NONE Serbuan di pejabat penerbitnya Sepakat Efektif Sdn Bhd dibuat bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau kesalahan menerbit tanpa permit.

Zunar, sebagai ketua pengarang, berkata rampasan itu "bermotif politik" kerana pihaknya telah mendapat kelulusan permit percetakan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun .

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari," katanya semalam.

"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi."

Sementara itu, pemangku pengarah penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN cawangan Selangor, Zainal Abidin Osman berkata, serbuan ke kilang tersebut tidak dilakukan oleh pegawai-pegawainya.

"Mungkin (ibu pejabat KDN) Putrajaya," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Serbuan di Brickfields dibuat oleh kumpulan lapan pegawainya, termasuk dua daripada KDN di Putrajaya.

Zainal menambah, setiap cawangan KDN di peringkat negeri boleh membuat rampasan walaupun di lokasi yang berada di luar negerinya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi ketua Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN di Putrajaya setakat ini belum berhasil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS