ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh telah lama berniat meninggalkan PKR kerana tidak berpuas hati akibat kekurangan dana dan masalah berpuak-puak dalam parti, kata seorang pembantunya.
Elias Saad berkata Mohd Radzhi mulai kini berhak bekerjasama dengan mana-mana parti politik untuk meneruskan agenda Melayu yang, menurutnya, menjadi "agenda perjuangan yang terpendam selama ini."
"Perkara ini dia sudah lama simpan, baru sekarang diluahkan. Beliau sudah lama tidak puas hati terhadap kepimpinan PKR peringkat pusat dan negeri," kata Elias ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau, seorang pembantu pentadbiran di pusat khidmat masyarakat ADUN itu, menjelaskan Mohd Radzhi berdepan dengan masalah dana - sama ada peruntukan kerajaan negeri atau sumbangan parti itu - untuk menjayakan program di kawasannya.
"Apabila saya majukan permohonan untuk peruntukan (kepada negeri), susah nak dapat. Kerajaan negeri kita pun bukannya ada duit sangat," katanya.
"Susah juga nak dapatkan dana daripada parti."
Tambahnya, Mohd Radzhi juga sudah lama tidak bersetuju dengan gejala perpecahan dalaman PKR yang melibatkan barisan pemimpin atasan parti.
"Beliau sudah lama tidak puas hati dengan pucuk pimpinan yang mengamalkan politik kabilah (berpuak-puak)," katanya lagi.
Elias bagaimanapun enggan menjelaskan dakwaan tersebut dengan alasan tidak mahu turut terlibat dengannya, sambil menambah persoalan ini berkaitan rapat dengan perlembagaan parti.
"Kita terpaksa ikut dengan banyak kehendak parti. Itu tak boleh, ini tak boleh," katanya lagi.
Beliau juga enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa Mohd Radzhi pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya tidak tahu, kena tanya dengan dia sendiri, tidak adil kalau saya bercakap bagi pihak dia," kata Elias.