Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ong saman Tiong RM500 juta
Diterbitkan:  Aug 24, 2009 12:13 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

kemaskini 3.56pm Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menyaman anggota parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM500 juta kerana mendakwa Tiong mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Ong, yang juga presiden MCA, memfailkan writ saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 11.15 pagi ini melalui Tetuan Tan, Goh & Associates.

Beliau mendakwa Tiong, pengarah esekutif syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung pemberian RM10 juta yang kemudiannya diterbitkan di laman web Malaysiakini pada Ogos 12

lalu.

NONE Dalam pernyataan tuntutannya, Ong berkata kenyataan itu tidak benar dan beliau memohon supaya Tiong membuat satu penarikan balik kenyataannya serta permintaan maaf disiarkan di semua surat khabar utama.

Ong juga menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalang Tiong atau ejennya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung isu itu.

Ong mendakwa kenyataan berunsur fitnah itu telah dikeluarkan secara mala fide dan dengan niat jahat bertujuan menghalang penyiasatan yang adil dan betul terhadap penyalahgunaan kewangan oleh Port Klang Free Zone (PKFZ) dan peranan KDSB dalam penyalahgunaan kewangan berkenaan.

KDSB merupakan kontraktor siap guna bagi projek PKFZ, yang kini sedang disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Ong berkata kenyataan itu telah menyebabkan reputasi, imej, integriti dan nama baiknya tercemar di khalayak orang awam.

Beliau berkata tuduhan-tuduhan yang terkandung di dalam kenyataan fitnahnya itu bertujuan merosakkan namanya sebagai pemimpin negara dan mengakibatkan beliau dibenci, dihina dan ditindas orang awam.

Ong berkata melalui surat bertarikh 13 Ogos lepas, beliau meminta Tiong, yang juga pengerusi Kelab Anggota Parlimen BN (BNBBC), untuk menarik balik kenyataannya itu dan meminta maaf tetapi sehinggga hari ini Tiong enggan berbuat demikian.

Sementara itu, seorang daripada peguam Ong, Ronnie Tan Tuan King berkata sekirannya menang kes ini, anak guamnya akan mendermakan bayaran ganti rugi yang diperoleh untuk kebajikan dan pelajaran. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS