Sekumpulan kira-kira 20 mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Haji Saad Tanah Liat, Bukit Mertajam, membantah pertemuan Menteri Pertahanan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dengan rakan sejawatannya dari Israel, Jun lalu.
Dalam demonstrasi selama kira-kira 10 minit, mulai jam 2.05 petang tadi, seorang daripada mereka berceramah mengecam tindakan Zahid yang juga ketua perhubungan Umno Pulau Pinang, berjumpa menteri Israel itu.
Sehubungan itu, dia bertanya siapakah yang sebenarnya khianat kepada agama, bangsa dan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, anggota polis bertindak menyuraikan perhimpunan tersebut.
Sementara itu, setiausaha ahli jawatankuasa masjid berkenaan, Roslan Arshad berkata, mereka yang mengadakan demonstrasi tersebut adalah orang luar.
Ketika ditemui Malaysiakini, Roslan berkata, mereka bukan penduduk tempatan kerana beliau tidak mengenali mereka.
Menurutnya, beliau mendapat tahu mengenai rancangan untuk mengadakan demonstrasi itu pada kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Berikutan itu, kata Roslan, beliau meminta supaya dihubungi polis kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini di situ.
Menurutnya, enam anggota polis, termasuk timbalan ketua polis Seberang Perai Tengah, Supt Mohan Singh, datang untuk mengawal keadaan.
Roslan berkata, kumpulan tersebut bersurai selepas diarahkan oleh pihak polis berbuat demikian.
Sebelum ini, akhbar rasmi PKR - Suara Keadilan - mendedahkan pertemuan Zahid dengan rakan sejawatnya dari Israel, Ehud Barak di Paris Jun lalu.
Ia juga melaporkan bahawa Zahid telah terlebih dahulu mengakui menemui Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan bahawa beliau (Zahid) telah berkeras supaya tidak ada jurugambar yang hadir dalam pertemuan tersebut.
Ia mendakwa pertemuan yang sedemikian rupa dengan regim yang telah dikecam di seluruh dunia kerana kekejamannya di Palestin dan Lebanon, secara tidak langsung menunjukkan ketidakpekaan dalam isu moral dan politik, tidak kira apa jua justifikasi yang diberikan oleh Zahid.