Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah supaya melepaskan jawatannya jika tidak mampu berkhidmat untuk rakyat.
Beliau berkata langkah meletakkan jawatan adalah yang terbaik sekiranya sudah tidak mampu berkhidmat kepada rakyat kerana PKR tidak akan mensia-siakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.
Abdul Khalid, juga menteri besar Selangor, mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Badrul Hisham menyertai Umno ekoran tidak puas hati dengan kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat, lapor Bernama .
"Kita tidak boleh mengarahkan seseorang untuk letak jawatan, tetapi jika itu yang terbaik untuk rakyat, mengapa tidak?
"Tetapi buat masa ini kita tidak melihat spekulasi yang berlaku ini memerlukan dia (Badrul Hisham) untuk meletak jawatan," kata Abdul Khalid kepada pemberita selepas majlis mewartakan tanah bagi pembinaan SJKT Simpang Lima II di Taman Sentosa, di Klang semalam.
Kali terakhir beliau menemui Badrul Hisham ialah kira-kira dua bulan lepas, katanya.
Abdul Khalid berkata pihaknya dimaklumkan Badrul Hisham menghadapi masalah kesihatan menyebabkan beliau gagal menghadiri sidang dewan undangan negeri baru-baru ini sehingga menimbulkan persoalan.
"Kita ada minta beliau menghantar surat cuti dari doktor kerana ketidakhadirannya, malah kita juga bersedia membantu apa yang kita boleh bantunya untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasannya," katanya.
Mengenai kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil jika Badrul Hisham meletak jawatan, Abdul Khalid berkata Pakatan Rakyat sentiasa bersedia dan yakin tidak menghadapi masalah berdasarkan beberapa rekod sebelum ini.
"PR mengalu-alukan pilihan raya kecil oleh kerana rekod kita menunjukkan rakyat mahukan perubahan," katanya.