Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau tidak mahu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pendedahannya mengenai sumbangan RM10 juta kepada MCA tahun lalu.

Tiong berkata beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada perdana menteri, meskipun isu berkenaan telahpun berada dalam pengetahuan kepimpinan tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). Tiong adalah bendahari agung SPDP.

"Sekiranya awak mahu cari teman wanita, awak tidak balik ke rumah dan minta lampu hijau daripada isteri awak. Kenapa awak mahu libatkan orang lain? ... Saya yang bertanggungjawab sendiri." katanya berseloroh.

"Saya cuma menjelaskan keadaan. Kenapa bos (Najib) hendak memarahi saya?," tambahnya.

Ditanya sama ada perdana menteri pernah menasihatinya berhubung isu ini, Tiong berkata:

"Tidak. Apabila kamu (media) jadi nakal dan menghubungi saya, perdana menteri pada masa itu dalam penerbangan ke luar negara. Saya tidak menyangka yang awak akan menelefon saya. Saya keberatan untuk memberi (komen), sehinggalah awak kata ada pemimpin-pemimpin MCA yang mencabar saya (sama ada benar-benar sumbangan itu diberikan)," katanya lagi.

Tanpa menamakan individu terlibat, beliau juga berkata beberapa orang pemimpin SPDP telah menasihatinya supaya meraih sokongan daripada ahli-ahli parti, tetapi beliau enggan.

"Ada di antara pemimpin yang minta saya supaya membentuk (kumpulan) untuk menyokong saya, tapi saya enggan (berbuat demikian). Bagi saya, ini adalah isu satu-sama-satu (antara beliau dengan Ong). Saya juga berterima kasih kepada pengundi (parlimen Bintulu) yang menyokong saya. Tapi saya tidak mahu mereka terbabit.

"Jika dia (Ong) kata dia tidak terima, dia kena jumpa dan duduk (bersemuka) dengan saya... Tapi saya tak mahu libatkan orang lain," katanya lagi.

Ditanya sekiranya pendedahan mengenai sumbangan itu akan memberi kesan ke atas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaaan rasuah dalam projek PKFZ, Tiong berkata:

"Kenapa ia akan memberi kesan? Ini hanya antara saya dengan dia (Ong). Duit ini adalah duit peribadi saya, jadi ini adalah antara saya dengan dia."

Ong dalam pada itu menolak pandangan tersebut dan berkata isu tersebut bukanlah soal peribadi. Dalam sidang media hari ini, Ong juga menegaskan bahawa beliau juga akan menunaikan janjinya bagi untuk mendakwa Tiong kerana memfitnahnya sebegitu.

"Ini bukan sesuatu perbalahan peribadi, jauh dari itu. Tidak ada soal peribadi. PKFZ bukan satu hal peribadi," katanya.

ADS