Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tee Keat akan saman Tiong
Diterbitkan:  Aug 20, 2009 11:13 AM
Dikemaskini: 7:13 AM

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat mengulangi pendiriannya untuk tetap menyaman Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Seri Tiong King Sing berhubung tuduhan pemberian RM10 juta untuk MCA tahun lepas.

Beliau berkata, keputusan untuk meneruskan saman itu bertujuan untuk menebus maruah dirinya selain bagi menangkis fitnah.

"Demi untuk menebus maruah dan menangkis fitnah yang tidak terhingga itu saya tetap akan bawa kes ini ke mahkamah sepertimana yang pernah saya janji dan sebut...pasti saya akan buat," katanya kepada pemberita selepas satu majlis di ibunegara hari ini, lapor Bernama

Ong yang juga Presiden MCA berkata, dalam tempoh seminggu ini beliau telah melihat pelbagai tuduhan liar dan tidak konsisten dilemparkan kepadanya bersabit dengan jumlah wang tersebut.

"Kalau nak buat tuduhan dan fitnah sekalipun...takkanlah sampai sedemikian rupa. Sekejap sebut sebagai pinjaman, sekejap sebut sebagai derma. Sebenarnya saya tidak pernah ambil pinjaman pun,” katanya.

Ong berkata, bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sejak dari mula pasti tahu kebenarannya kerana sebelum mereka (KDSB dan Tiong) membuat fitnah secara terbuka terhadapnya, mereka telahpun didakwa oleh pasukan petugas khas Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) ekoran penemuan bil tuntutan yang dipertikaikan menjangkau RM1 bilion.

Beliau berkata, berikutan penemuan itu LPK telah membuat laporan polis terhadap Kuala Dimensi dan laporan itu memberi implikasi mengenai dakwaan mereka dan rakyat tentunya akan mempertikaikan integriti dan kredibiliti mereka yang membuat dakwaan tersebut terhadap dirinya.

Ong telah membuat laporan polis terhadap Tiong Khamis lepas dan mengatakan beliau akan mengambil tindakan undang-undang jika Tiong, tidak menarik balik tuduhan berkenaan dalam tempoh tujuh hari.

Bagaimanapun Tiong pada hari yang sama memaklumkan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataannya selain mencabar Ong untuk meneruskan tindakan untuk menyamannya.

"Biar apa sekalipun tuduhan dilemparkan, saya sedia menanggung segala risiko dan beriltizam untuk menyelesaikan isu ini dengan berhemah kerana isu PKFZ melibatkan kepentingan ramai. Mengenai saman itu kita perlukan sedikit kesabaran. Apabila saya kata (saman) saya akan buat. Saya akan kota apa yang dikata," kata Ong.

Isu PKFZ timbul apabila Tiong selaku CEO KDBS iaitu kontraktor projek siapguna PKFZ mengeluarkan kenyataan bahawa Ong telah menerima RM10 juta daripada syarikat itu tahun lepas dan wang tersebut digunakan sebagai perbelanjaan untuk MCA.

Tiong, Anggota Parlimen Bintulu dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, mendakwa bahawa wang itu diserahkan dalam tiga pembayaran.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai teguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka menghentikan perbalahan dan tidak mengeluarkan kenyataan secara terbuka Ong berkata, beliau terima teguran itu tetapi baginya ia bukan isu peribadi dan beliau perlu menjelaskan kebenaran di sebalik tuduhan tersebut.

Ong berkata, tuduhan Tiong adalah sesuatu yang serius dan memberi kesan terhadap dirinya dan oleh yang demikian beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan demi membela dirinya.

"Ini bukan isu dan pertelagahan peribadi. Ia jauh daripada itu. Saya tidak ada sebarang masalah peribadi dengan beliau. Kalau ada pun ia melibatkan isu PKFZ. Takkan kita nak anggap isu PKFZ itu sebagai isu peribadi. Dia (Tiong) telah membuat tuduhan yang amat serius. Jadi apakah patut saya mendiamkan diri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS