Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat satu lagi pendedahan, dengan mendakwa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan kampus Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) milik MCA, di Penampang, Sabah.

NONE Kesemua unit kedai terdiri daripada lapan blok bangunan empat tingkat milik Wawasan Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dijaya Corporation. Ia disewa oleh KTAR sejak Februari 2007.

Sebelum ini, ketika ditemubual oleh akhbar berbahasa Cina, Tiong dilaporkan menyifatkan jumlah RM1 itu sebagai tanda simbolik sumbangannya kepada kolej dan parti berkenaan.

Pendedahan terbaru ini merupakan rentetan daripada pertelingkahan terbuka di antara Tiong dan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat yang semakin serius - ekoran isu membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

NONE Tiong dalam satu temubual dengan Malaysiakini hari ini berkata kadar berkenaan kini tidak lagi sesuai memandangkan parti MCA yang merupakan pemilik kolej berkenaan didakwa mempunyai aset bernilai lebih RM2 billion.

Oleh itu, katanya, kadar sewa yang lebih setimpal patut dikenakan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) di Penampang, Sabah yang kini menduduki premis syarikat itu secara 'percuma.'

Tiong mahu tindakan tersebut diambil kerana berasa tertipu dengan saranan MCA supaya memberi sumbangan kepada parti itu bagi membantu komuniti Cina di negeri tersebut.

"Sebelum ini MCA datang kepada saya dan kata mereka tiada duit, kalau saya bantu akan kurangkan beban pelajar. Saya juga telah bayar RM200,000 untuk ubahsuai sebelum diserahkan kepada KTAR.

‘Saya rasa tertipu'

"Sekarang saya rasa tertipu. Kalau parti itu sudah ada lebih daripada RM2 billion, kenapa ia masih perlu meminta bantuan daripada saya," kata Tiong yang juga setiausaha agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu.

NONE "Sekarang saya perlu menilai semula kepimpinan di dalam MCA, sejauh mana efisiennya mereka dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Tapi kalau macam ini, lebih baik saya gunakan sumbangan itu untuk orang yang lebih memerlukan."

"Tapi siapa tahu, mungkin mereka masukkan juga kos sewa bangunan dalam yuran walaupun sewa percuma? Ini mungkinlah, saya tidak tahu," tambahnya.

Tiong juga mahu bersemuka dengan Ong yang didakwa telah menjalankan usaha untuk mencemarkan nama dan menghakimi peribadi pemimpin ahli parlimen Bintulu melalui media.

"Saya tidak peduli tentang persepsi orang ramai (terhadap saya). Hal ini adalah antara saya dengan Ong. Saya mahu bersemuka satu sama satu dengan dia. Tak perlu libatkan orang lain," katanya lagi.

Jelasnya lagi, beliau maklum dengan saranan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dihentikan pertelingkahan dengan Ong kerana menimbulkan persepsi negatif terhadap BNl.

NONE Tambahnya, beliau juga harus berani berhadapan dengan cabaran-cabaran daripada pemimpin tersebut.

"Saya tidak peduli dengan persepsi orang. Dia berani cabar saya, saya juga berani cabar dia. Sekarang saya pula panggil dia gengster politik, macam mana?

"Biarlah orang nilai sendiri perwatakan dia. Dia pandai menjaga imej sebagai pemimpin yang bersih dan telus. Setiap hari dia akan tunjuk kepada orang dia macam ini. Dia boleh sebab dia orang besar, saya bukan."

"Dia kata saya ini gengster, saya ini hisap darah, apa ini? Tapi kalau saya kata saya bukan gengster orang tidak akan percaya kepada saya kerana saya bukanlah siapa-siapa. Saya bukan menteri yang orang kena percaya. Jadi saya mahu dia buktikan (dakwaan-dakwaan tersebut) kepada saya.".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS