Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korban H1N1 meningkat kepada 67
Diterbitkan:  Aug 18, 2009 3:14 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Kematian akibat jangkitan influenza A (H1N1) meningkatkan kepada 67 orang apabila tiga lagi korban penyakit tersebut dilaporkan hari ini.

azlan Menurut Kementerian Kesihatan, sehingga jam 9 pagi ini, sejumlah 276 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad, dengan 36 pesakit yang disahkan H1N1, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Sementara itu 156 orang dibenarkan pulang dari wad dengan 129 dibekalkan antiviral.

Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 daripadanya mempunyai faktor risiko DM (1), penyakit kronik (7), kegagalan buah pinggang (3), asma (2), obesiti (1), kecacatan otak (2), hamil dan bersalin (2) dan kanak- kanak di bawah setahun (3).

Harga penutup hidung, mulut esok

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga siling bagi penutup hidung dan mulut akan diumumkan esok.

Bernama memetik beliau berkata, pengumuman itu termasuk jenis penutup atau topeng yang akan dikawal harganya berikutan sikap kebanyakan peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual barangan itu pada harga tinggi semasa negara dilanda penularan virus Influenza A (H1N1).

"Hari ini pegawai kementerian saya bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan untuk menentukan harga dan jenis topeng yang akan dikawal harganya," katanya.

Menurutnya lagi, selepas harga siling ditetapkan, mana-mana peniaga atau pembekal penutup hidung dan mulut yang menaikkan harga akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Negara 1946.

Akta itu memperuntukkan denda sehingga RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan

kesalahan.

"Saya lihat peniaga kita terlalu tidak beretika. Biasanya 50 sen sahaja harga topeng itu. Dia boleh pergi sampai RM5.

"Bayangkanlah kalau orang miskin, anak ada enam orang, dah RM30. Bermakna beratus-ratus ringgit dia kena keluarkan untuk topeng sahaja semata-mata untuk menyelamatkan nyawa keluarga dia," katanya.

Beliau juga berharap syarikat-syarikat besar tampil menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing untuk membantu golongan kurang berkemampuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS