kemaskini 4.14pm Satu lagi blog – mendakwa wujud konspirasi menyingkirkan beberapa wakil rakyat pro-Pakatan Rakyat di Selangor – membuang artikelnya selepas menerima surat ugutan dikenakan tindakan undang-undang.
Blog Perisik Rakyat (www.perisik-rakyat.com) Khamis lalu menyiarkan semula artikel di blog Malaysia Waves , 'Konspirasi Membuang YB Saari Sungib dan Yang Menentang Idea Persepakatan PAS-Umno di Selangor' – tetapi menarik balik sehari selepas itu.
Pengendalinya, yang memperkenalkan dirinya sebagai Topeng Perak, menerima surat tuntutan daripada bekas calon PAS Suwardi Yaacob yang disifatkan dalang utama merancang penyingkiran beberapa ADUN dan ahli parlimen PAS.
Mereka yang didakwa mahu disingkirkan antaranya Saari Sungib (Hulu Kelang dan bekas ketua penerangan PAS negeri), Dr Halimah Ali (Selat Kelang dan exco kerajaan Selangor), Khalid Samad (Shah Alam) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).
Surat yang dikirim melalui emel itu, antaranya, memohon tuntutan maaf secara terbuka melalui iklan di sebuah akhbar tempatan dan menarik balik tulisan tersebut serta-merta.
Dikirim melalui tetuan Zulpadli & Edham pada 14 Ogos, Suwardi turut menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teladan akibat penyiaran artikel itu serta membuat pembetulannya dalam 48 jam.
Menurut notis tuntutan itu, dakwaan dalam blog itu tidak benar dan terdapat unsur-unsur fitnah dan/atau pertuduhan yang tidak berasas – yang “menyebabkan anak guam kami dipandang serong dan dianggap sebagai pengkhianat parti PAS”.
Dihubungi Malaysiakini hari ini, pengendali blog Perisik Rakyat bagaimanapun berkata, penarikan balik tulisan itu dibuat "bukan kerana takut disaman", tetapi disebabkan Tulang Besi, penulis blog Malaysia Waves , menarik kembali tulisan tersebut 14 Ogos lalu.
Jumaat lalu, blog itu yang sering mengulas politik dalaman PAS membuang artikel berkenaan dengan alasan "isu itu terlalu panas" selepas dinafikan Ketua Penerangan PAS negeri, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Malaysia Waves mendakwa wujud satu mesyuarat di bangunan setiausaha kerajaan Selangor pada 30 Julai yang turut dihadiri Roslan Shahir - bagaimanapun bekas setiausaha presiden PAS itu menafikan beliau hadir di situ kerana sedang berehat di rumah selepas mendapat rawatan di hospital.
Tujuh penyumbang terlibat mengusahakan blog Perisik Rakyat , termasuk Tulang Besi sendiri.
Suwardi turut mengirim emel tuntutan yang sama kepada Tulang Besi – dipercayai menarik semula artikel konspirasi susulan surat tuntutan daripada firma guaman tersebut.
Blog Malaysia Waves minggu lalu bagaimanapun mendakwa ia berbuat demikian "atas permintaan tuan punya surat itu sendiri" dengan alasan "isu ini terlalu panas dan takut akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini."
Beroperasi sejak Mac tahun lalu, Perisik Rakyat memuatkan tulisan-tulisan politik yang kebanyakannya anti-BN.