Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam bantah teori Teoh bunuh diri
Diterbitkan:  Aug 14, 2009 7:16 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Teori bahawa setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock, membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 Plaza Masalam adalah tidak berasas, dakwa peguam pemerhati keluarga mendiang dalam prosiding inkues hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo berkata teori yang dikemukakan oleh pakar patologi itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia tidak disokong dengan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan Teoh telah berdiri dan terjun melalui tingkap di tingkat itu, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya katakan kepada doktor bahawa doktor adalah salah, ini bukanlah kes si mati terjun dan membunuh diri kerana tidak ada kesan tapak kasut atau kesan cap jari pada tingkap itu.

"Teori bunuh diri ini hanya dibuat berdasarkan fakta-fakta yang tidak wujud kerana doktor sendiri tidak melakukan pemeriksaan untuk menyokong teori ini," kata Gobind kepada Dr Khairul Azman Ibrahim ketika saksi ke-10 itu menyambung keterangannya hari ini.

Dalam prosiding itu, Gobind mempersoalkan mengapa tiada kesan tapak kaki pada bingkai tingkap jika benar Teoh dikatakan telah berdiri di situ sebelum terjun ke bawah.

"Mungkin ada, tapi tak nampak. Saya ada periksa tapi tak nampak. Kesan tapak kasut sukar ditemui di sekitar kawasan tingkap itu kerana tempat itu berkarpet," jelas Dr Khairul Azman, yang merupakan pakar perunding kanan perubatan forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau kemudian bangun dari kandang saksi dan menunjukkan gambaran bagaimana Teoh dikatakan telah terjun melalui tingkap itu.

Caranya ialah dengan mengeluarkan kaki kanan dahulu daripada pintu kandang saksi (diibaratkan sebagai tingkap), sambil kedua-dua belah tangan memegang kayu pintu kandang (sebagai bingkai tingkap), kemudian mengeluarkan kaki kiri dan berdiri di luar pintu kandang sebelum terjun ke bawah.

"Jika benar si mati terjun begitu, bukankah mesti ada kesan cap jari pada bingkai tingkap? Tapi kesan cap jari pun tiada. Ada doktor nampak kesan cap jari?" soal Gobind.

"Tiada, cap jari perlu dikesan dengan peralatan sesuai, di makmal saya tiada kemudahan itu," jelas Dr Khairul Azman.

"Tapi bukankah doktor boleh arahkan pihak polis untuk jalankan ujian pengesanan cap jari di situ?" soal Gobind lagi dan saksi itu mengakui tidak mengarahkan ujian cap jari dilakukan.

Gobind seterusnya mempersoalkan mengapa kesan tapak kasut juga tidak ditemui di tebing dinding luar tingkap tempat Teoh dikatakan berdiri sebelum terjun ke bawah, seperti yang digambarkan oleh Dr Khairul Azman.

"Saya ada jenguk ke luar tingkap dan ke bawah tapi tak nampak kesan tapak kasut di situ. Kalau tapak kasut itu berdebu mungkin senang untuk dilihat," kata Dr Khairul Azman.

Gobind turut mencadangkan kepada pakar patologi itu bahawa kasut sebelah kanan mangsa telah sengaja dicampak keluar melalui tingkap itu setelah mayat Teoh dicampak dahulu, yang menunjukkan adanya unsur-unsur homisid (pembunuhan) dalam kematiannya.

Peguam itu mempersoalkan mengapa kasut yang tercampak tidak beberapa jauh dari mayat Teoh ditemui itu tidak mempunyai apa-apa kesan yang sepadan dengan kesan impak setelah jatuh dari tempat tinggi.

"Pada pendapat saya, kasut itu tertanggal sebab ada impak yang kuat. Tapi saya tak nampak apa-apa kesan, saya hanya jalankan 'visual observation' (pemerhatian secara visual)," kata Dr Khairul Azman.

"Tapi adakah doktor bersetuju ada kemungkinan mayat si mati dicampak dahulu, kemudian kasutnya pula dicampak?" tanya Gobind dan Dr Khairul Azman menjawab: "Ya, ada kemungkinan."

Saksi pakar itu juga mengakui tidak menjalankan sebarang ujian mengesan cap jari pada kasut tersebut atas alasan tidak mempunyai kemudahan sedemikian di makmalnya di hospital terbabit.

"Kenapa tidak arahkan polis untuk buat ujian? Adakah sebab hendak menutup cerita?" dakwa Gobind dan Dr Khairul Azman membalas: "Tidak. Saya terlupa nak buat ujian cap jari."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Dr Khairul Azman akan menyambung keterangannya Isnin depan. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS