Sebanyak 40 peratus daripada 56 korban wabak selesema A (H1N1) meninggal dunia akibat "kelewatan mendapat rawatan awal" dan sebanyak 13 peratus pula angkara "kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan".
Statistik itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hariannya berhubung wabak tersebut hari ini.
"Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan (70 peratus), di samping itu juga daripada jumlah kematian tersebut, sebanyak 40 peratus didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal dan sebanyak 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan," katanya.
"Saya berpendapat, ada di antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera."
Hari ini, dua bayi berusia dua bulan dan seorang remaja menjadi sebahagian perangkaan terbaru korban wabak daripada lima kes - jumlah keseluruhannya 56 kes.
Dr Mohd Ismail menambah, kadar penularan influenza A (H1N1) dalam masyarakat adalah tinggi dan perkembangan ini dapat dilihat daripada jumlah semakin ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza, agar mengambil tindakan berikut:
Pertama , mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan.
Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan dalam komuniti.
Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.
Kedua , di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat di rumah sehingga sembuh.
Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A (H1N1).
Guru besar atau ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas.
Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik.
Ketiga , semua ibu bapa atau penjaga memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.