Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Blog buang artikel 'konspirasi' selepas dinafi PAS S'gor

kemaskini 5.37pm Blog yang sering mengulas politik dalaman PAS membuang artikel - mendakwa wujud konspirasi menyingkirkan beberapa wakil rakyat pro-Pakatan Rakyat - dengan alasan "isu itu terlalu panas" selepas dinafikan seorang pemimpin PAS negeri.

Artikel 'Konspirasi Membuang YB Saari Sungib dan Yang Menentang Idea Persepakatan PAS-Umno di Selangor', yang didakwa dikirim kepada blog tersebut, dimuat semalam.

malaysia waves website 121208 Semakan Malaysiakini jam 1 tengah hari tadi menunjukkan ia sudah ditarik balik walaupun semakan awal pukul 10.30 pagi mendapati ia masih ada bersama artikel mendoakan kesihatan Dr Lo' Lo' Ghazali, ahli parlimen PAS bagi Titiwangsa, yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

(Seorang pegawainya memberitahu Malaysiakini petang ini, Dr Lo' Lo' dalam keadaan stabil. Tambahnya, ahli jawatankuasa pusat PAS itu enggan menerima pelawat setakat ini dan akan mengeluarkan kenyataan, kemudian.)

Blog Malaysia Waves yang dikendalikan penulis 'Tulang Besi' mendakwa wujud satu mesyuarat di bangunan setiausaha kerajaan Selangor pada 30 Julai yang turut dihadiri Roslan Shahir Mohd Shahir, ketua penerangan PAS Selangor.

Dapat rawatan di hospital

Bekas setiausaha presiden PAS itu bagaimanapun menafikan beliau hadir di situ kerana sedang berehat di rumah selepas mendapat rawatan di hospital.

Sejak tahun lalu, Roslan berdepan dengan beberapa tuduhan di dalam dan di luar parti, termasuk di Malaysia Waves , berhubung pergeseran dalaman PAS sehingga pernah dilabelkan memainkan "peranan subversif" untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan".

hasan ali khalid samad saari sungib pas selangor Bagaimanapun Roslan enggan mengulas lanjut dengan alasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan beliau agar tidak memberikan sebarang respons.

Tulisan itu mendakwa mesyuarat tersebut memastikan semua calon PAS pada pilihan raya umum akan datang sealiran dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali.

Nama beberapa ADUN parti itu yang didakwa "mahu dibunuh karier mereka" termasuklah Saari Sungib (Hulu Kelang), Dr Abd Rani Osman (Meru), Dr Halimah Ali (Selat Kelang) dan Dr Shafie Abu Bakar (Bangi).

Manakala ahli parlimen yang didakwa ingin digugurkan: Khalid Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) – ketiga-tiga lantang membantah idea kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Laga-lagakan pemimpin PAS

Khalid dan Dr Dzulkefly disebut-sebut dalam "kumpulan Erdogan" yang menentang keras kerjasama parti itu dengan Umno dan menginginkan keutuhan PAS bersama gabungan pembangkang.

roslan sms shahir mohd shahir Selain panjang lebar mengecam tulisan Tulang Besi, yang dinamakan sebagai Abd Rahman Talib, Roslan (foto) menyifatkan artikel itu bertujuan melaga-lagakan barisan pemimpin PAS dengan wakil-wakil rakyatnya.

"Setahu saya setelah dilantik sebagai ketua penerangan Selangor dan duduk dalam Dewan Harian PAS Selangor, kami tidak pernah sekali-kali membincangkan darihal isu mengekal atau menggugurkan ADUN-ADUN dan ahli-ahli parlimen PAS," tulisnya di blog peribadi.

"Ternyata tohmahan ini sangat jahat dan cuba mengadu domba sesama pimpinan dalam PAS Selangor."

Sehubungan itu, Roslan menuntut agar penulis blog itu "memohon maaf dan bertaubat."

"Banyak lagi kerja-kerja yang perlu kita lakukan di Selangor untuk memartabatkan Islam, janganlah orang seperti beliau menjadi penghalang dan pengacaunya.

"Berikan tumpuan, tenaga dan fikiran kita ke arah memantapkan jemaah dan mengibarkan panji-panji Islam," katanya.

Takut perkara tidak diingini

Sementara itu, sebagai reaksi kepada berita Malaysiakini , blog Malaysia Waves petang ini menjelaskan alasan ia menarik balik artikel tersebut.

"Saya terpaksa menarik kembali artikel dari siaran atas permintaan tuan punya surat itu sendiri. Setakat ini alasan yang beliau berikan adalah kerana beliau merasakan isu ini terlalu panas dan beliau takut akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini," kata pemiliknya.

Tulang Besi menambah, pada kelazimannya, beliau tidak akan membuang artikel yang diterbitkannya.

"Tetapi, dalam kes ini, permintaan dibuat oleh tuan punya surat sendiri. Jadi, saya terpaksa akur," katanya.

"Saya sedar isu ini telah masuk dalam media perdana (contohnya, Malaysiakini ). Jadi, saya terpanggil untuk memberi keterangan."

Penulis blog itu bertegas akan terus mendedahkan "semua tindakan dan aktiviti puak Umno dalam PAS dan tidak gentar dengan tindakan mereka."

Menjawab penafian Roslan berhubung kehadirannya, Tulang Besi berkata, "tiada siapa yang berani menafikan mesyuarat tersebut telah berlaku dan agenda tersebut telah diperbincangkan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS