kemaskini 4.53pm Dua exco kerajaan Selangor yang bertelagah berhubung isu penjualan arak hari ini berdamai secara terbuka di depan wartawan di sidang media khas Pakatan Rakyat.
Datuk Dr Hasan Ali, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, dan Ronnie Liu, seorang ahli jawatankuasa pusat DAP, berjabat tangan di depan media, selain mengadakan sidang akhbar bersama.
Turut hadir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan pergeseran terbuka antara kedua-dua "sudah selesai".
“Masalah yang digembur-gemburkan di media tentang (isu di) Selangor itu telah selesai dengan baik. Dan ada bersama di sini, Menteri Besar (Selangor), Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Dr Hasan dan Ronnie.
“Saudara boleh ambil gambar mereka, kalau hendak salam, ikutlah,” kata Anwar berseloroh.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin popular DAP, Lim Kit Siang turut hadir dalam sidang media di Tropicana Golf Resort, Petaling Jaya selepas berakhirnya sesi pagi permukiman pemimpin utama gabungan pembangkang itu.
Penasihat PKR itu menegaskan, Pakatan Rakyat tetapi mengambil pendirian tidak menggalakkan penjualan arak kepada orang Islam, tetapi penjualan kepada bukan Islam kekal seperti biasa.
Hasan, exco hal-ehwal Islam, dan Ronnie, exco kerajaan tempatan, dalam sidang media bersama selepas sidang media Anwar, menyifatkan “masalah kecil” antara mereka sengaja diperbesar-besarkan Umno dan media yang mahu mengambil kesempatan.
Hasan menafikan mereka berdua mendapat arahan pimpinan tertinggi Pakatan supaya menutup kes tersebut bagi memberikan gambaran baik hubungan PAS dan DAP di depan umum.
“Kamu media, kita tutup pun, kamu buka juga. Perbincangan dalam media ini natural. Saya nampak rakyat Selangor berbeza dengan di tempat (negeri) lain.
“Suatu perkara yang hendak disampaikan, mereka sudah ada ilmu tentang perkara itu. Kalau media hendak main pun, tak makan (tidak berkesan),” kata ADUN Gombak Setia.
Ronnie pula berkata, PAS dan DAP tidak perlu takut pada perbezaan antara kedua-duanya kerana sentiasa ada penyelesaian untuk terus bekerjasama.
“Isu ini telah selesai. Kita sudah ada kawalan kendiri, kita tinggalkan perkara itu sebagai percubaan (selama sebulan). Kita tunggulah hasil yang memuaskan selepas ini,” kata ADUN Pandamaran.
Kedua-dua mereka berkata, desakan menarik balik portfolia kerajaan tempatan yang dipegang Ronnie tidak lagi timbul apabila menteri besar membuat keputusannya.