Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5.33pm Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada "tangan-tangan tersembunyi" menyeleweng jumlah undian di laman web beritanya berhubung isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Tidak ada penyelewengan dan tidak ada tangan-tangan yang bersembunyi," kata Ketua Komunikasi Korporat KDN, Jamilah Taib.

"Kunjungan anda ke portal kami, sama ada mengundi untuk menyokong atau menyanggah, kami amat-amat menghargainya."

Jumlah respons bagi soalan pertama dan keempat yang meningkat secara mendadak dan luar biasa mulai tengah hari semalam menjadi bahan pertikaian dan tuduhan ia dimanipulasi.

Pada jam 4 petang kelmarin, hanya 1,499 respons memilih ISA sebagai "undang-undang pencegahan" tetapi naik sehingga 887 peratus sewaktu semakan Malaysiakini jam 1.45 tengah hari tadi (lihat carta di bawah) .

Jumlah respons pula meningkat mendadak sebanyak 16,171 – dari 13,644 kepada 29,815 respons.

Sementara itu, berlaku juga lonjakan sokongan luar biasa supaya ISA diteruskan sebanyak 1,069 peratus (14,357 undi), daripada 1,333 kepada 15,590.

Jumlah pengundi bagi soalan keempat itu pula meningkat sebanyak 17,775.

Jamilah, juga editor portal berita kementerian itu berkata, tidak menjadi polisi KDN untuk berbohong kepada pengunjung portal itu.

"Kami menyerahkan sepenuhnya keputusan undi (untuk) ditentukan secara jujur dan telus. Kepada pihak yang mempertikaikan, berfikirlah secara matang.

"Jangan kerana (apabila) pada satu-satu apabila graf undian menunjukkan keputusan seperti mana yang dikehendaki, anda memuji.

"Tetapi pada suatu ketika yang lain, apabila graf undian berubah corak maka lain pula kata anda," katanya.

Undian tersebut akan tamat pada jam 12 tengah malam ini, jelas Jamilah lagi.

Kenyataannya ini turut diterbitkan di ruangan 'Nota Dari Editorial iKDN' di laman itu hari ini.

azlan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS