Selepas 24 jam undian isu ISA diberitakan, jumlah pengunjung laman web berita Kementerian Dalam Negeri (KDN) naik mendadak tetapi peratusan mereka yang mahu akta kontroversi itu dimansuhkan menurun sedikit.
Seramai 8,076 responden atau 91 peratus mahu ISA dihapuskan awal malam ini berbanding hanya 481 atau 92 peratus memilih jawapan yang sama semalam.
Undian yang bermula hampir jam 9 malam kelmarin dijangka akan terus berjalan selama seminggu – seperti undian bagi isu-isu lain sebelumnya.
Lima soalan dikemukakan, masing-masing dengan tiga pilihan jawapan, bermula dengan "pada pandangan anda, ISA adalah...".
Semakan Malaysiakini , sehingga 7 malam ini, mendapati 7,688 responden atau 87 peratus menganggapnya "kejam" bagi soalan pertama itu.
Semalam, 597 responden atau 88 peratus menganggapnya demikian.
Majoriti responden, kira-kira 93 peratus daripada 7,605 responden, yang menentang akta itu menyatakan mereka "faham dan tahu sepenuhnya mengenai ISA".
Mereka - 7,443 responden atau 94 peratus - juga mengetahui isu ISA melalui bahan bacaan.