Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Demo bukan pilihan jika ada cara lain
Diterbitkan:  Aug 7, 2009 12:57 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Demokrasi mengizinkan demonstrasi, tetapi apabila cara lain terbuka luas, demonstrasi tidak sepatutnya menjadi pilihan, kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Demokrasi mengizinkan demonstrasi. Sama ada demokrasi menguntungkan pengamal bergantung kepada pengamal. Jika pengamal tidak faham cara mengguna demokrasi, kebaikan dan keuntungan tidak akan tercapai," tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

Budaya demonstrasi, menurut Dr Mahathitr, adalah datang dari luar.

"Memang dalam keadaan terlalu tersepit dan tidak ada cara lain untuk memperjuangkan sesuatu, demonstrasi jalan terpaksa diadakan.

"Demikian semasa melawan Malayan Union, orang Melayu berdemonstrasi. Tetapi apabila cara lain terbuka luas demonstrasi tidak sepatutnya menjadi pilihan," tulisnya lagi.

Menurutnya, ini kerana yang menjadi mangsa bukan kerajaan sahaja.

"Yang jadi mangsa ialah peniaga, terutama peniaga kecil yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagi mereka ini demonstrasi adalah mala petaka yang lebih buruk daripada hujan lebat.

"Barangan jualan terutama makanan sudah disiap dan tidak boleh disimpan. Kerugian sehari tidak dapat ditampung dengan keuntungan 10 hari atau lebih," tulisnya.

‘Pelabur jadi curiga'

Menurut Dr Mahathir lagi, peniaga lain juga akan tanggung kerugian.

"Tetapi kerugian yang terbesar ialah pembangunan negara untuk rakyat. Kita sedar bahawa pembangunan negara membawa banyak nikmat kepada seluruh rakyat.

"Banding sahaja pendapatan per kapita sebelum Malaysia dibangun dengan selepas kemajuan dicapai," tambahnya.

Menurutnya lagi, apabila demonstrasi jalanan diadakan, pelabur sama ada tempatan atau asing akan curiga untuk melabur.

"Dengan itu peluang untuk kontraktor, pembekal barangan, khidmat pengangkutan, pekerja dan penjual makanan untuk pekerja - semua peluang ini akan hapus.

"Polis terpaksa ambil tindakan. Gas pemedih mata dan belantan diguna. Kegunaan cara keras ini biasanya diumpan oleh pendemonstrasi. Imej polis dan negara jadi buruk," tambahnhya.

"Ini sangat menggembirakan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) kerana inilah ceritanya kepada orang luar negeri, Malaysia katanya adalah tidak demokratik, zalim, tidak ada kebebasan bagi rakyat, dan lain-lain.

"Demonstrasi bukan untuk mengugut kerajaan sahaja tetapi untuk tunjuk kepada dunia betapa buruknya Negara sendiri. Secara tidak langsung tujuan demonstrasi ialah supaya dianya memerintah negara ini. Na'uzubillah," tegas Dr Mahathir lagi.

Menurutnya, ada negara-negara di mana demonstrasi kerap diadakan termasuk di rantau itu dan sehubungan itu beliau bertanya apakah negara-negara ini berjaya?

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah menganjurkan perhimpunan anti-ISA yang disertai kira-kira 20,000 orang di ibunegara 1 Ogos lalu.

Perhimpunan tersebut turut disertai Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikannya.

Manakala pemimpin kerajaan pula mengecam perhimpunan tersebut kerana menurut mereka kerajaan sedang menyemak semula akta tersebut yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.

ADS