Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said, seorang guru, adalah antara calon pilihan untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, kata exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin.
"Saya mencadangkan kepada Ketua Pemuda (Khairy Jamaluddin) supaya menyerahkan nama Cikgu Zaidi kepada (Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Cikgu Zaidi berkemampuan (untuk menjadi calon)," kata Nazir Hussin ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, walaupun calon Umno belum diputuskan lagi tetapi Mohd Zaidi adalah antara calon yang disebut-sebut akan mewakili BN.
Nazir berkata ini kerana, Mohd Zaidi seorang anak tempatan dan sudah dua penggal menyandang jawatan ketua Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh.
"Ahli Umno akan bersatu, kalau beliau jadi calon. Orang muda di Permatang Pasir rapat dengan dia," katanya.
Umno Permatang Pasir lebih 20 cawangan Pemuda Umno.
Jentera pilihanraya
Nazir berkata, sekiranya Mohd Zaidi menjadi calon, beliau yakin jentera pergerakan itu di peringkat bahagian, negeri dan pusat akan memberi sokongan penuh kepadanya.
"Kita akan bekerja kuat untuk memenangkan beliau," katanya.
Semalam dilaporkan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno Pulau Pinang menyenaraipendek lima daripada 20 calon untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.
Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno berkata beliau akan menyelidiki mereka terlebih dahulu sebelum nama calon yang sesuai dikemukakan kepada pucuk pimpinan Umno dan BN.
Pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir perlu diadakan dalam tempoh 60 hari ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman Jumaat lalu.
Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.
Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.