Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah mengeluarkan panduan melarang juvana menyertai demonstrasi anti-ISA Sabtu lalu, gabungan NGO itu bagaimanapun tidak dapat menghalang mereka hadir ke tempat awam, kata Pengarusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

"Kita tidak boleh hendak halang mereka ke tempat awam. Mungkin ada yang ikut ibu bapa mereka untuk membeli-belah," kata ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

syed ibrahim syed nor Beliau diminta mengulas tindakan penunjuk perasaan anti-ISA yang membawa anak-anak mereka bersama dalam demonstrasi besar kelmarin.

Dalam perhimpunan besar 20,000 orang itu, polis menahan 589 orang penunjuk perasaan termasuk 44 juvana di bawah umur 18 tahun.

Pada 28 Julai lalu, GMI mengeluarkan panduan kepada peserta demonstrasi itu, antaranya larangan membawa kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

Mengulas tangkapan juvana itu, Syed Ibrahim menyifatkannya sebagai satu penganiayaan dan tidak berperikemanusiaan.

"Kanak-kanak di bawah tanggungjawab keluarga mereka. Jangan diapa-apakan kanak-kanak. Ini tidak, ditahan dalam lokap tanpa wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sepatunya polis menggunakan budi bicara dan sifat perikemanusiaan," katanya.

Sementara itu, sebagai salah seorang daripada 11 orang yang dicari polis berhubung demonstrasi itu, Syed Ibrahim berkata, beliau akan memberikan kerjasama sekiranya dipanggil secara betul.

"Saya tidak ada apa hendak lari. Kalau mereka perlu panggil untuk siasatan, kalau ada notis yang betul, kita akan datang," tambahnya.

Setakat ini, katanya, beliau belum dihubungi polis bagi tujuan itu.

Kelmarin, polis dilaporkan ingin menyiasat 11 individu termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perhimpunan Sabtu lalu.

ADS