Laporan: Andrew Ong, Jimadie Shah Othman, Rahmah Ghazali, Abdul Rahim Sabri, Wong Teck Chi, Lee Way Loon, P Tarani, K Pragalath, Emily Chow .
>>> Lihat GALERI FOTO DEMONSTRASI
kemaskini 11.59pm
Polis ingin menyiasat 11 individu termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perhimpunan 20,000 orang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur sepanjang petang ini.Selain tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh, pemimpin kanan lain dalam Pakatan Rakyat yang akan turut disiasat:
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar;
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali,
Ahli parlimen PKR Batu, Tian Chua;
Ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu;
ahli parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution Ismail;
Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhamad Sabtu Osman dipetik berkata siasatan itu kerana mereka hadir dan berucap di depan ibu pejabat PAS sebelum demonstrasi besar itu bersurai kira-kira 4 petang ini.
Dalam perkembangan sehingga jam 11 malam ini, polis Kuala Lumpur mengeluarkan angka tangkapan terbaru: 589 orang termasuk 44 remaja bawah umur 18 tahun 40 wanita ditangkap bagi siasatan menurut Akta Polis 1967.
"Daripada jumlah itu, 27 orang adalah pelajar, yang mana 20 orang terdiri daripada pelajar berumur 17 tahun ke bawah manakala bakinya adalah pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berumur lingkungan 18 hingga 23 tahun," Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dipetik berkata.
Setakat 6 petang tadi, Muhamad Sabtu memberitahu Malaysiakini bahawa seramai 438 orang ditahan sejak 7 pagi, termasuk 37 wanita dan 38 kanak-kanak.
Semuanya kecuali tiga orang berbangsa Melayu.
Antara tokoh utama pembangkang yang ditahan: Naib Presiden PKR Sivara Rasiah dan ahli jawatankuasa pusat PAS Mujahid Yusuf Rawa.
Sivarasa ditahan dekat kompleks membeli-belah Sogo kira-kira jam 3.15 petang, manakala tempat dan masa tahanan Mujahid tidak dapat dipastikan.
Sewaktu dihubung lewat petang tadi, Kamaruzaman yang juga timbalan pengerusi Himpunan MANSUH berkata mereka belum mendapat maklumat lanjut, setakat ini.
Penunjuk perasaan anti-ISA dipercayai dibawa ke beberapa balai polis tempat, antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Jalil dan IPD Cheras.
Sementara dua penggerak utama GMI - penganjur perhimpunan hari ini yang dibuat bersempena ulang tahun ke-49 pelaksanaan akta kontroversi itu - ditahan menjelang pukul 1 tengah hari dekat Sogo dalam percubaan mereka berarak ke Istana Negara mulai 2 petang.
Dua anggota jawatankuasa GMI Norlaila Othman dan Narshita Mohd Nor ditahan bersama pemimpin Muslimat PAS Aiman Athirah al-Jundi.
Mereka dibawa di dalam sebuah trak dari kompleks membeli-belah itu ke IPD Cheras.
Norlaila, ketika dalam tahanan, memberitahu Malaysiakini bahawa 18 tahanan wanita dibawa ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 7 petang.