Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu, Amran Ahmad menggesa ahli-ahlinya "meneruskan perjuangan" menuntut kenaikan gaji setelah muncul kebimbangan beliau berkemungkinan dipecat.

Dalam nada sayu, beliau berucap kira-kira 30 minit di majlis makan malam sempena setahun kegagalan rundingan perjanjian bersama (CA) kesatuan dengan majikannya Utusan Melayu (M) Berhad malam tadi.

"Sekiranya saya dibuang kerja selepas 4 Ogos ini, saya cuma mengharapkan pimpinan baru – sudah tentu pengerusi baru akan dilantik – meneruskan perjuangan mendapatkan penyelarasan gaji 10 peratus dan mengekalkan kebajikan yang sedia ada.

"Kita tidak boleh kompromi dengan kebajikan (wartawan) ini," kata Amran di hadapan kira-kira 70 anggota kesatuan itu malam tadi.

Ahli parlimen PKR Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dan bekas pengerusi kesatuan berkenaan Datuk Yazid Othman – yang pernah dibuang kerja berhubung kes CA yang sama sebelum ini – turut hadir.

Amran dikenakan tindakan siasatan dalaman Selasa ini atas dakwaan memfitnah dan menjejaskan reputasi syarikat selepas dikenakan surat tunjuk sebab dua minggu lalu susulan tindakannya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perbelanjaan syarikat.

Amran dikehendaki hadir pada 4 Ogos, jam 10 pagi di Pusat Latihan Utusan di ibu pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Amran akan berdepan dengan tiga pertuduhan memfitnah - berdasarkan tiga laporan di Malaysiakini dan Harakahdaily - berhubung tindakannya ke SPRM.

Selasa ini, Amran akan mempertahankan dirinya dalam siasatan tersebut.

Permintaannya untuk diwakili peguam M Manoharan – juga ADUN DAP Kota Alam Shah – ditolak secara rasmi oleh majikannya kelmarin.

Ketika majlis santai di tempat letak kereta ibu pejabat syarikat akhbar itu berhenti menikmati jamuan, muncul kelibat ahli parlimen Batu, Tian Chua dengan tidak disangka-sangka.

Tian, yang juga pengarah strategi PKR, disambut mesra beberapa exco NUJ Utusan dan dijemput menyampaikan ucapan ringkas.

Tampil berucap selepas Amran, Tian memberikan "tabik" kepada Amran kerana "berani menjadi wartawan yang memperjuangkan hak dan keadilan".

"Cuma saya ingin membetulkan ucapan Amran, bahawa (malam) ini mungkin ucapan terakhirnya. (Jangkaannya) ini tidak betul.

"Dari segi undang-undang dan pendirian kesatuan, selagi seorang pemimpin masih mendapat keyakinan ahli-ahlinya, dia tetap pengerusi (NUJ), tidak kira status sama ada diberhentikan kerja atau tidak.

"Dalam mata pandangan kesatuan, (pemecatan) ini tidak sah. Kesatuan tidak akan mengiktirafnya," katanya, disambut tepukan gemuruh.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo! .

Kesatuan sekerja itu masih lagi bergelut untuk mematerai CA penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA sebelumnya.

Bagaimanapun perjuangan mereka untuk mendapatkan tuntutan CA itu masih gagal walaupun perjanjian lama telah tamat pada 31 Julai tahun lepas.

ADS