dikemaskini Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) membatalkan tempat pertemuan penyokongnya di Masjid Negara petang esok tetapi mengekalkan dua lagi lokasi - di Padang Merbok dan di Pasar Seni.
Timbalan Pengerusi II NGO itu Rahimuddin Md Harun berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat terakhir malam tadi.
"Keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada alim ulama dan orang lama bagi menjaga kesucian masjid," katanya.
Rahimuddin berkata, pihaknya tidak mahu kesucian masjid tersebut tercemar jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
"Kita juga tidak mahu mengganggu jemaah yang mahu beribadat, katanya.
Ditanya sama ada ia bertujuan untuk mengelak pertembungan dengan kumpulan penentang akta kontroversi tersebut anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) juga akan berkumpul di tempat yang sama, Rahimuddin berkata:
"Kita lebih memfokuskan kepada hendak menjaga keharmonian. Yang berkumpul di situ, sepatutnya budak-budak silat, boleh kalau nak bertembung, tetapi kesucian tempat ibadat itu lebih penting dipertahankan."
Kedua-dua kumpulan berbeza pendirian itu akan berarak ke Istana Negara dari lokasi masing-masing mulai 2 petang, 1 Ogos.
Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI merancang bergerak dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.
Sementara penyokong ISA bergerak ke Dataran Merdeka dari Pasar Seni dan Padang Merbok dengan berpakaian putih.