Exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah membuat laporan polis terhadap sebuah blog yang menuduhnya terbabit dalam rasuah dan rakan sejawatannya, Ronnie Liu melesapkan dana kerajaan negeri pada 2008.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di ibupejabat polis Shah Alam, Ean berkata, blog tersebut "mahu mengalih perhatian rakyat dari kematian kontroversi pembantunya, Teoh Beng Hock".
Blog itu menuduh Liu dan Ean ada kaitan dalam kematian Teoh dan mendakwa mereka terbabit dalam rasuah, khususnya dana kerajaan negeri untuk DUN Sungai Pelek yang diwakili MCA.
Ean berkata, blog itu juga cuba mengaitkan beliau dengan kematian Teoh, dengan menuduh beliau dan Liu memaksa Teoh berpakat dalam aktiviti haram.
"Semua itu bohong kerana Teoh tidak pernah bekerja dengan Liu dan dia juga tidak pernah terbabit dalam urusan peruntukan (DUN) Sungai Pelek," katanya.
Ean, yang bercadang membuat laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, juga mendakwa blog tersebut cuba "memecah belahkan perpaduan di kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat".
Liu, yang pada mulanya tidak bersetuju untuk membuat laporan polis terhadap blog tersebut, berkata beliau bersetuju kemudiannya atas nasihat dari rakan-rakan dalam DAP".