Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan ahli pergerakan itu supaya tidak menyertai demonstrasi dan perarakan ke Istana Negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pada 1 Ogos ini.
Katanya, pergerakan itu ada menerima jemputan untuk menyertai demonstrasi berkenaan, namun memilih untuk mengambil sikap berkecuali dan mengarahkan semua ahlinya berbuat perkara yang sama.
Menurutnya, pendirian itu diambil kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memulakan proses kajian semula akta berkenaan, lapor Bernama .
Justeru itu, kata ahli parlimen Rembau itu, tidak wajar diadakan demonstrasi untuk membantah atau menyokongnya.
"Sebagai ketua, saya arahkan berkecuali. Janganlah kita mendahului proses (kajian semula) itu, tidak perlu ada demonstrasi," katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan Pemuda Umno Kedah di Alor Star.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang memohon untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dii Istana Negara.
Selain itu, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) pula dijangka mengadakan demonstrasi bagi menyokong akta itu, yang dijadual berlangsung pada tarikh dan di kawasan yang sama (lihat peta di bawah) .
Kedua-dua kumpulan yang berbeza pandangan itu dijangka bertembung di jalanan kerana mereka menggunakan laluan yang sama untuk ke Istana Negara.
Sementara itu, Khairy juga mengingatkan Pemuda Umno peringkat bahagian supaya peka tentang cadangan pindaan perlembagaan parti dan segera memberi maklum balas mengenai perkara itu sebelum Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober ini.
Beliau juga menggesa ahlinya bergerak lebih aktif untuk menarik lebih ramai golongan berpengaruh seperti guru, ulama, cendekiawan dan penulis untuk menyertai pergerakan itu bagi menguatkan lagi barisan Pemuda Umno yang kini mempunyai kira-kira 750,000 ahli.