Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab daripada tuduhan rasuah tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin berkata, pihak pendakwaraya telah gagal membuktikan kes terhadap Mirza.
Oleh itu, katanya, Mirza dilepas dan dibebaskan dari tuduhan tersebut.
Mirza, 52, dituduh menerima suapan RM13,860, daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media, di mana syarikat itu telah membiayai rawatan pergigian Mirza di Clinical Practise Prosthodontic.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di klinik itu di No.15, Tingkat Bawah, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, antara 17 Januari dan 26 Julai 2005.
Pada masa itu, Mirza adalah timbalan ketua pengarah 1 di Kementerian Pelancongan, manakala abangnya, Mirza Mohd Tariq merupakan rakan pengurusan di syarikat Perunding Pakar Media.
Jika didapati bersalah, Mirza berdepan dengan hukuman dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mirza berkata keputusan mahkamah itu membersihkan dirinya daripada sebarang tuduhan.
Katanya, beliau telah digantung tugas dan berdepan dengan penghinaan akibat tuduhan tersebut.
Mirza telah digantung tugas sejak 13 Ogos tahun lalu dan beliau akan memutuskan langkah seterusnya apabila lembaga disiplin kementerian berkenaan bersidang.