Orang selalunya menyambut ulang tahun dengan makan malam untuk satu peristiwa yang dipenuhi ingatan kegembiraan.
Namun Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu berbuat demikian, Khamis ini, demi memperingati genap setahun kegagalannya mematerai perjanjian bersama (CA) dengan majikannya.
Untuk meneruskan lagi perjuangan kesatuan itu, program makan malam bersama 300 ahlinya itu dimanfaatkan bagi memberikan penerangan berhubung perkembangan tuntutan mereka yang masih berlarutan sejak CA sebelumnya tamat 31 Julai tahun lalu.
"Pengerusi NUJ Utusan (Amran Ahmad) akan berucap pada malam itu," kata pengurus program tersebut, Baharuddin Yaakob, yang juga naib pengerusi kesatuan.
Tuntutan NUJ Utusan bagi CA penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA sebelumnya.
Baharuddin memberitahu Malaysiakini hari ini, majlis makan malam akan dimulakan pada jam 8 malam di kawasan tempat letak kenderaan di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd di Jalan Chan Sow Lin, Cheras.
Tambahnya, beberapa mantan pengerusi NUJ Utusan akan turut dijemput, selain penampilan khas bekas ketua pengarangnya Said Zahari – yang terkenal kerana memimpin "mogok Utusan" pada 1961 kerana menentang pengambilalihan akhbar itu oleh Umno.
"Kita sudah jemput, setakat ini beliau (Said) belum sahkan lagi (kehadiran)," katanya.
Said, yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun di Singapura, kini sering uzur dan menghabiskan banyak masa di rumah anaknya di Subang Jaya, Selangor.
Selain ucapan Amran dan beramah mesra secara santai sesama ahli, tiada acara lain dirancang untuk malam itu, tambah Baharuddin.
Susulan kebuntuan untuk mencapai kata sepakat dalam rundingan CA, NUJ Utusan cuba menarik perhatian pemimpin Umno – sebagai pemilik utama akhbar itu – melalui kiriman surat kepada menteri-menterinya.
Bagaimanapun, ia dilaporkan gagal mendapat maklum balas, termasuk daripada perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sehubungan itu, bersempena perhimpunan agung Umno pada penghujung Mac lalu, kesatuan tersebut ingin berpiket di luar dewan persidangan parti di PWTC dengan alasan tindakan sedemikian "medan komunikasi berkesan" untuk menyuarakan permintaan mereka.
Bagaimanapun, ia dibatalkan kerana gagal mendapat permit polis.
Terbaru, pada 20 Jun lalu, kesatuan tersebut mengadukan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang (foto kiri) .
Manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemui di Pagoh, Johor pada penghujung Mei lalu.
Konflik antara kesatuan dan Utusan Melayu terus berpanjangan apabila Amran diberikan surat tunjuk sebab atas dakwaan "menfitnah" majikannya selepas membuat dua aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April dan Jun lalu.
Malaysiakini difahamkan, Amran menafikan dakwaan-dakwaan majikannya itu dalam surat jawapan bertulisnya pada Isnin lalu.
Kesatuan itu mewakili wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo! .