Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Gerakan penyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menambahkan kekuatan mereka dengan melibatkan kumpulan baru dengan dua lagi lokasi perhimpunan pada 1 Ogos nanti.

Perhimpunan anjuran bersama Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) - serentak dengan demonstrasi besar untuk mendesak penghapusan akta kontroversi itu yang dianjurkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - akan turut disertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan kumpulan pesilat lincah.

Timbalan Presiden II Pewaris, Rahimuddin Md Harun memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa dua NGO Melayu ini akan berkumpul di Masjid Negara mulai jam 11 pagi dan akan bergerak ke Dataran Merdeka jam 1 tengah hari.

Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) - antara 10 NGO awal bersama Pewaris - dalam perkembangan terbaru dijadual memimpin barisan penyokong ISA berarak dari Padang Merbok di sebelah Bank Negara bergerak ke dataran pada waktu yang sama setelah berkumpul di situ jam 11 pagi.

Sementara itu, presiden GGMM, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, mereka menambah tempat berhimpun bagi menunjukkan kemampuan menyaingi sokongan terhadap GMI – yang juga akan berhimpun di tiga tempat.

"Kita ikut GMI, nak tunjuk kita juga mempunyai sokongan," katanya.

Mahaguru Persatuan Pesilat Lincah Malaysia, Datuk Omar Din - yang baru menyatakan sokongan terhadap perhimpunan tersebut - pula berkata, mereka akan turut serta kerana mempunyai pendirian yang sama.

Menyifatkan ISA seperti kunci bagi mempertahankan keamanan negara, Omar berkata, sokongan pesilat lincah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kekuatan kepada penunjuk perasaan anti-ISA.

"Kita bukan hendak tunjuk kekuatan, kita cuma hendak tunjukkan sokongan (kepada ISA). Sebarang pertembungan elakkanlah, kita sama-sama Melayu," katanya.

Tengah hari tadi, GMI mengumumkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta dalam Himpunan MANSUH anjurannya.

Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh juga berkata, ia akan turut disertai pimpinan atasan Pakatan Rakyat, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan pemimpin lebih 83 NGO dalam gabungan tersebut.

Mereka akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS