Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita MCA desak daftar bayi sebagai anak Teoh
Diterbitkan:  Jul 22, 2009 4:20 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Wanita MCA menggesa kerajaan supaya membenarkan anak yang sedang dikandung oleh tunang Teoh Beng Hock, didaftarkan dengan nama Teoh sebagai bapanya, bila dilahirkan kelak.

Peraturan sekarang mewajibkan kehadiran bapa kandung untuk pendaftaran kelahiran apabila seseorang anak dilahirkan.

Jika tidak, sijil kelahiran anak tersebut akan hanya mengandungi maklumat mengenai ibunya sahaja.

"Dengan mengambil kira persekitaran kematian Teoh dan demi peri kemanusiaan, Wanita MCA menggesa menteri dalam negeri supaya membenarkan anak yang bakal dilahirkan itu, didaftarkan dengan nama bapanya," kata Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mayat Teoh yang juga setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui tengahari Khamis lalu, selepas disoal siasata oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di negeri itu.

Dalam kenyataan hari ini, Chew berkata, Jabatan Pendaftaran Negara harus mendaftar kelahiran anak Teoh dengan menamakan Teoh sebagai bapanya.

"Tambahan pula, pasangan tersebut telahpun memaklumkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai mengenai rancangan untuk mendaftar perkahwinan mereka pada 17 Julai 2009," tambanya.

Oleh itu, kata Chew, ia adalah satu ketidakadilan terhadap anak yang bakal dilahirkan itu, jika didaftar dengan nama ibunya sahaja.

"... dan anak yang tidak bersalah itu, akan menanggung stigma tersebut sepanjang hidupnya.

"Pada bila-bila masa pun, hak seorang anak mendapatkan kerakyatan dan identiti harus dihormati dan dilindungi," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Wanita MCA dan pasukan petugas kewarganegaraan MCA akan mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan dengan soal kerakyatan dan kelahiran.

Syor-syor mengenainya, kata Chew, akan dikemukakan dalam memorandum yang akan diserahkan oleh Wanita Umno kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS