Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang dan dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Melainkan, titah baginda, terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Sultan Azlan titah demikian ketika merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, lapor Bernama.
Baginda bertitah ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama dari segi emosi dan kecenderungan.
Oleh itu, baginda mengingatkan bahawa peranan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu dipertahankan.
Para hakim, titah baginda lagi, mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah.
"Dan jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut, akan berlakulah ketidakseimbangan. Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang," titah baginda.
Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, tidah Sultan Perak lagi, para hakim adalah terdedah kepada penilaian umum.
Menurut baginda, ini kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dilakukan.