Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Teoh: Nazri minta Kit Siang tutup mulut
Diterbitkan:  Jul 20, 2009 5:50 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta orang ramai khususnya pembangkang, supaya menghentikan spekulasi berhubung kematian setiausaha politik seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock atau menjadikannya isu perkauman.

Katanya, pemimpin pakatan pembangkang khususnya tokoh veteran DAP Lim Kit Siang, sepatutnya membiarkan polis menyiasat insiden itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rumusan.

"Saya nak bagi ingatan sedikit kepada Lim Kit Siang, biarlah polis jalankan penyiasatan. Siapa beliau, bukan ketua pembangkang pun.

"Jangan alihkan isu itu menjadi isu lain, saya menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang, saya tahu apa yang saya

katakan dan jangan cuba mengajar saya, saya fikir beliau yang patut tutup mulut dan tidak menjadikan isu ini sebagai isu perkauman. Biar polis siasat," katanya, lapor Bernama.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan ucaptama di forum mengenai Integriti dan Pematuhan: Agenda

Malaysia anjuran Siemens hari ini.

Mayat Teoh, 30, ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor Khamis lepas, dipercayai akibat terjatuh dari bangunan yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh adalah seorang daripada beberapa saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan salah guna peruntukan exco kerajaan negeri Selangor.

'Saya pun pernah disiasat BPR'

Mohamed Nazri berkata SPRM juga tidak boleh diarah menghentikan siasatannya.

Ketika ditanya mengenai status pegawai SPRM yang terbabit menyoal siasat Teoh iaitu sama ada mereka akan digantung kerja atau sebaliknya, beliau berkata perkara itu tidak timbul kerana ketika ini, kes itu masih dalam siasatan polis.

Mengenai tindakan orang ramai yang mempertikaikan kaedah SPRM menjalankan soal siasat, Mohamed Nazri berkata cara sedemikian

telah digunakan sejak berpuluh tahun lalu.

"Saudara pun jangan lupa, saya juga pernah disiasat oleh BPR atau SPRM pada tahun 2003, dan itu kaedah mereka menyiasat... kadangkala ada permintaan supaya penyiasatan itu tidak dilakukan pada waktu kerja kerana ada setengah orang bimbang dan takut

kalau dia pergi waktu kerja, ramai orang akan tahu dan tidak akan rasa selesa kerana dia absent (tidak hadir) waktu ofis, jadi ada yang minta supaya disiasat luar masa kerja... itu perkara biasa," katanya.

Katanya, proses yang sama juga perlu dilalui exco kerajaan negeri BN yang disoal siasat SPRM.

"Jadi kita jangan buat kesimpulan kalau kita merasakan menyiasat di luar waktu kerja itu menyusahkan...ini juga menyusahkan kepada pegawai terbabit, kalau nak ikut, baik pegawai itu buat pada waktu kerja," katanya.

Isu Kpg Buah Pala

Mohamed Nazri juga berkata ketidakhadiran peguam ketika seseorang individu itu disoal siasat SPRM bukanlah satu masalah besar.

"Lim Guan Eng pun jumpa dengan penduduk Kg Buah Pala tanpa kehadiran peguam. Dalam kes ini, sebenarnya peguam hadir tetapi

dia berada di luar...saya juga ketika kena siasat pada 2003 tak panggil peguam kerana apa yang kita takutkan... nak pula kita hanya sebagai seorang saksi sahaja bukan yang dituduh, jadi saya kira, kalau peguam hadir sekalipun, kalau dia terpaksa menjawab, jadi dia terpaksa jawab juga."

Katanya, beliau percaya pegawai-pegawai SPRM adalah profesional dan akan melakukan siasatan tanpa mengira kaum.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini membidas pihak yang sanggup bermain kotor dengan memutarbelitkan dan mempolitikkan kes kematian Teoh.

Menyifatkannya tindakan itu sebagai satu "pembohongan untuk kepentingan diri", Ong berkata pihak-pihak tertentu itu sanggup

berbuat demikian bagi mendapatkan "pengaruh politik".

Katanya beliau telah menerima satu laporan semalam mengenai satu laporan dalam talian yang menyalahgunakan nama ketua biro

komunikasi MCA Lee Wei Kiat dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan daripadanya yang disiarkan terdahulu.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata Lee sebelum ini mengeluarkan kenyataan meminta supaya satu suruhanjaya diraja

ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh kematian Teoh.

"Tetapi malangnya kenyataannya telah diputar-belit yang kononnya Lee menyarankan kematian Teoh adalah pilihan peribadinya dan

ia sesuatu yang bukan sahaja terkejut tetapi tidak dapat diterima sama sekali," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan

majlis menandatangani persefahaman di antara Bernama Radio24, Sunlight Radio Taxi Sdn Bhd dan Persatuan Pengguna Islam

Malaysia (PPIM) di Wisma Bernama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS