Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas penahanan presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya, Shazni Munir Mohd Ithnin, polis terus memburu dua lagi pelajar untuk membantu siasatan kes menconteng dan percubaan membakar di dewan Akademi Pengajian Islam (API) hujung bulan lalu.

"Kita masih mengesan dua lagi pelajar tersebut, Aizat dan Saufi," kata satu sumber polis di ibu pejabat polis Brickfields kepada Malaysiakini hari ini.

Selain Shazni Munir yang merupakan pelajar tahun akhir, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani adalah pelajar tahun dua API.

Sumber-sumber dalaman universiti itu menyatakan, kedua-dua suspek tidak menghadiri kuliah sejak semester baru dibuka 6 Julai lalu.

Sejak kejadian 24 Jun lalu, polis menjejaki tiga suspek kes contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan kuliah utama API Universiti Malaya.

Siasatan juga berhubung simbahan petrol di permaidani yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor dalam satu program di tempat tersebut.

Dua lagi pelajar API Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, yang dituduh berhubung kes tersebut, akan dibicarakan mulai 7 Disember ini.

Sumber yang sama memberitahu, Shazni Munir ditahan oleh lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah petang Jumaat lalu di Universiti Malaya selepas pelajar itu berjumpa dengan Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan polis untuk melanjutkan tahanan reman terhadap Shazni Munir.

Difahamkan polis bercadang untuk mendakwa pemimpin pelajar Islam itu di mahkamah dalam tempoh terdekat, "sama ada minggu ini atau minggu hadapan."

ADS