Kerajaan Selangor akan mengadakan perhimpunan solidariti "Perhimpunan Rakyat" Ahad ini bagi menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock yang ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas disoal siasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.
Perhimpunan tersebut akan diadakan di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya pada jam 4.30 petang.
Ia akan dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, kata satu kenyataan sekretariat akhbar pejabat menteri besar Selangor.
Menurutnya, Ketua Polis Selangor Dato Khalid Abu Bakar telah dimaklumkan mengenai perhimpunan tersebut.
"Kerajaan negeri berharap pihak polis dapat bertimbang rasa ketika mengendalikan orang awam Ahad ini dan memahami sentimen orang awam yang secara umumnya sedih dan marah atas kematian Teoh.
"Kerajaan negeri sekali lagi menyampaikan takziah kepada keluarga Teoh dan bersedia untuk memberikan sumbangan kewangan bagi pengurusan jenazah dan pengembumian," katanya kenyataan itu lagi.
Kerajaan negeri juga, katanya, akan bekerjasama dengan pihak polis dalam proses siasatan dan berharap agar kerja siasatan dapat dijalankan secara professional, menyeluruh dan telus.
Dalam kenyataan itu juga, kerajaan Selangor menggesa agar ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh.
"Proeses siasatan wajar dianggotai oleh ahli panel yang bebas bagi mengenalpasti punca kematian dan pihak yang bertanggungjawab.
"Kerajaan negeri berpendirian proses ini penting untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap SPRM sebagai agensi banteras rasuah yang bebas dan bertanggungjawab," tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, kematian Teoh telah menimbulkan isu keselamatan pegawai kerajaan semasa dalam siasatan.
"Dengan itu kerajaan negeri mengarahkan tiada pegawai kerajaan yang dibenarkan soal siasat oleh SPRM di luar kawasan pejabat.
"Kerajaan negeri akan menyediakan khidmat peguam bagi pegawai kerajaan yang disiasat oleh SPRM. Arahan ini akan dilanjutkan sehingga siasatan ke atas tragedi ini selesai," tambah kenyataan itu.