Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul menggantung ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo daripada menghadiri persidangan selama setahun, berkuatkuasa serta merta.

Ini bermakna, bekas menteri besar Selangor itu, yang juga ADUN Sungai Panjang, hanya boleh menghadiri sidang Julai tahun depan.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh wakil rakyat Pakatan ekoran semua ADUN BN bertindak keluar dewan sebagai membantah usul tersebut.

Usul untuk menggantung Khir selama setahun tanpa elaun dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN (JKHK).

Ia ekoran kegagalan Khir menghadiri pendengaran awam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS).

Jawatankuasa itu juga mencadangkan supaya empat lagi ADUN BN digantung dan elaun dipotong selama enam bulan kerana didapati bersalah menghina SELCAT di media.

Sebelum itu, Khir mengetuai 17 ADUN BN bertindak keluar dewan kerana membantah usul tersebut.

Khir dalam ucapan perbahasannya mengenai usul itu - sebelum keluar dewan - menuduh Speaker Teng Chang Khim tidak adil terhadapnya dan empat lagi rakannya sewaktu pendengaran SELCAT.

Teng, katanya, telah bertindak sebagai "hakim, juri dan algojo" dalam perkara tersebut.

Khir mendakwa demokrasi telah mati di Selangor dan menegaskan sebarang penggantungan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah tidak sah, tercemar dan berniat jahat terhadap mereka.

Oleh itu, katanya, mereka tidak mahu terbabit dalam keputusan yang didakwanya berat sebelah dan berniat jahat.

Ketika itu, beberapa ADUN Pakatan Rakyat bangun untuk menjawab dakwaan Khir itu tetapi beliau bertindak keluar dewan bersama ADUN BN yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS