Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Roti suci yang diberi makan kepada penganut Kristian menjadi isu besar terhadap wartawan Al-Islam yang menyamar untuk menyiasat dakwaan wujudnya usaha memurtadkan gadis bertudung.

Dalam satu laporan polis minggu lalu terhadap majalah bulanan tersebut, dua penganut Kristian turut meminta roti putih itu dikembalikan kepada pihak gereja.

Dalam artikel "Tinjauan Al Islam Dalam Gereja: Mencari Kesahihan Remaja Melayu Murtad" yang diterbitkan dalam edisi Mei lalu, roti tersebut diluahkan dari mulut penulis untuk diambil foto.

Dalam aduan Joachim Francis Xavier dan rakannya Sudhagaran Stanley di balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang, tindakan wartawan lelaki tersebut juga dianggap menghina Katholik.

NONE "Perbuatan dua lelaki ini iaitu meninjau di dalam gereja, menerima roti putih ini (daripada paderi), meludah keluar roti putih tersebut bagi tujuan mengambil gambar dan kemudian menulis mengenai pengalaman tersebut dalam majalah Al-Islam merupakan perbuatan yang amat menghinakan kepada umat Katholik dan berprovokasi," aduan polis 8 Julai lalu dipetik.

"Kami juga meminta polis supaya pihak Al-Islam mengembalikan secepat mungkin roti putih tersebut kepada pihak atasan gereja."

Mereka juga dilaporkan mendakwa perbuatan wartawan itu sebagai "pencerobohan" satu majlis keagamaan di gereja dan boleh dianggap mempermain-mainkan ajaran agama tersebut.

Joachim memberitahu Malaysiakini dalam program video "Citizen Journalism" semalam, wartawan itu hadir di gereja dengan tanggapan yang salah.

"Isunya ialah mereka mengintip tentang aktiviti gereja yang pada sangkaan mereka menjalankan aktiviti memurtadkan orang Islam tertentu kepada agama Kristian," katanya.

NONE "Jadi mereka datang dalam keadaan andaian yang salah, (dan membuat) laporan salah. Bukan itu sahaja malah mereka juga tidak memahami maksud tubuh Isa."

Sementara Sudhagaran, ditemubual dalam video "Police report against Al-Islam ", berkata setelah membelek-belek majalah tersebut, beliau rasa terkejut dan marah dengan gambar roti suci di majalah tersebut sehingga mendorongnya dan Joachim membuat aduan polis.

Artikel Muhammad Ridhwan Abdul Jalil tentang pengalamannya di dua gereja, termasuk sebuah dekat Puduraya, dimuatkan di halaman 28-30 edisi Mei yang menfokuskan isu " Al-Islam Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad".

Bagaimanapun siasatan majalah tersebut tidak menemui isu murtad seperti khabar angin yang sering kedengaran dalam masyarakat Islam.

"Apa pun, sepanjang tinjauan yang dibuat, kami dapati dakwaan-dakwaan yang mengatakan ramai remaja Melayu dimurtadkan di gereja-gereja pada setiap hari Ahad tidak kami temui.

"Yang ada hanyalah mereka yang berwajah Melayu tetapi berasal dari Sabah yang menganut Kristian sejak lahir," artikel itu dipetik.

Penulis turut memuji akhlak penganut Kristian di gereja.

"Sewaktu kami membuat tinjauan ini, kami berasa amat kagum melihat akhlak mereka yang hadir.

"Mereka sangat menghormati satu sama lain dan sangat mudah mesra kerana mereka sangat berpegang kepada konsep kasih sayang dan hormat menghormati," tulis Muhammad Ridhwan.

"Mereka turut berjabat tangan dan diikuti dengan senyuman yang manis dengan kami apabila paderi memberi arahan ramah dan mesralah bersama saudara-saudaramu."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS