Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasangan kekasih digantung sampai mati kes bunuh rakan
Diterbitkan:  Jul 14, 2009 3:07 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Seorang bekas pelajar kolej swasta bersama teman lelakinya didapati bersalah membunuh rakannya sendiri menangis teresak-esak selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Semasa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membacakan keputusan, Noralina Ahmad Dasuki, 22, yang gagal mengawal emosi terpaksa ditenangkan oleh ibupanya dan kerap kali menyatakan bahawa dia bersumpah tidak melakukan kesalahan itu.

Menurut Bernama , kejadian menyayat hati itu menarik perhatian wartawan dan petugas mahkamah hingga ada yang turut mengalirkan air mata, apatah lagi melihat pelukan bapa dan ibu bagi menggambarkan kasih sayang terhadap anak mereka.

Ibu Noralina yang tidak henti-henti mengalirkan air mata sempat menasihatkan anaknya supaya menerima keputusan itu sebagai takdir dan tidak lupa sembahyang serta berulang kali menyebut "Mama sayangkan adik, hanya Allah yang tahu apa berlaku, adik jangan tinggal sembahyang, berdoa banyak-banyak."

Hampir 20 minit keadaan itu berlaku sehinggalah polis mahkamah membawanya keluar dari kandang tertuduh, Noralina masih lagi merayu agar ibunya menolong melepaskannya dan dia yang kelihatan lesu enggan menerima bekalan makanan walaupun dipujuk oleh anggota keluarga.

Sementara teman lelaki gadis tersebut, Muhammad Khairul Anuar Abdullah yang turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati turut mengalirkan air mata dan menekup mukanya dengan tangan setelah hakim membacakan hukuman.

Dalam keadaan tangan bergari sebelum dibawa ke lokap, dia memeluk anak lelakinya yang berusia tiga tahun dan menangis teresak-esak ketika didekati isterinya, lapor agensi berita itu lagi.

Pegawai penjara yang berada di mahkamah terpaksa membawa tertuduh ke lokap apabila melihat ibu Muhammad Khairul tidak dapat mengawal emosi dan meraung-raung bagaikan tidak mahu melepaskan anaknya itu.

Noralina, bekas pelajar kolej PTPL dan Muhammad Khairul, bekas pekerja Astro, didakwa membunuh Juliana Md Fuzi, 20, seorang pelajar Kolej Islam Antarabangsa di dalam bilik nombor 5133, Tingkat 5, Sunrise Apartment, Wisma Indah, Blok 498, Jalan Tun Razak, Cheras antara 23 Mac 2007 kira-kira pukul 10 malam dan 24 Mac 2007 kira-kira pukul 8 malam.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Ketika penghakiman, Mohamad Zabidin berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 33 orang saksi, manakala tertuduh pertama dan kedua - yang diperintah membela diri - masing-masing memanggil tiga saksi dan seorang saksi.

Dalam perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa ketika kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan terikat di belakang dan leher terjerut menggunakan 'cable light' di dalam bilik serta terdapat kesan kuku yang menunjukkan mangsa meronta-ronta ketika pembunuhan berlaku dan beliau turut dirogol.

Keterangan beberapa saksi menyatakan kedua-dua tertuduh juga telah mengambil barang si mati seperti telefon bimbit, duit dan kad ATM.

Kedua-duanya juga telah membuang kain yang diambil dari tempat kejadian ke dalam lombong.

Di peringkat pembelaan pula, kedua-dua tertuduh saling menyalahkan antara satu sama lain.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yaacub Chik, manakala Noralina diwakili peguam Karpal Singh dan peguam T Suresh bagi pihak Muhammad Khairul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS