Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi gema gugurkan Rosmah di Unisel
Diterbitkan:  Jul 10, 2009 2:57 PM
Dikemaskini: Jul 13, 2009 3:34 AM

kemaskini 7.19pm Keinginan menggugurkan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) bergema semula malam tadi di satu majlis yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Para pelajar yang menghadiri "Pidato Kepemimpinan dan Sesi Dialog" bersama penasihat PKR sebulat suara menolak isteri Datuk Seri Najib apabila diajukan isu tersebut.

NONE Hanya seorang pelajar yang mengangkat tangan apabila Anwar bertanya sama ada wajar wanita pertama negara dikekalkan sebagai canselor Unisel - seperti ditegaskan menteri besar , tahun lalu.

Menurut laman web penyokong mantan timbalan perdana menteri itu, isu itu berbangkit semula apabila seorang daripada lebih 2,000 pelajar mengemukakan cadangan menukar naib canselor mereka kini.

"Seluruh pelajar Unisel bertepuk menyatakan persetujuan," satu coretan blog Anwar Ibrahim Club (AIC) dipetik.

Susulan cadangan itu dalam sesi soal jawab selepas ucapannya selama sejam, Anwar kemudiannya meminta pelajar-pelajar yang ingin Rosmah diganti agar mengangkat tangan tanda bersetuju.

NONE "Riuh rendah keadaan bila seluruh dewan yang sesak dengan pelajar-pelajar, termasuk beberapa pensyarah juga, mengangkat tangan dan bertepuk menandakan persetujuan mereka," laporan blog itu dipetik.

Timbalan pengarah progam tersebut Maisarah Ismail, yang membangkitkan cadangan kontroversi itu, memberitahu Malaysiakini lewat petang ini bahawa majlis anjuran Majlis Perwakilan Pelajar itu diadakan bagi menggalakkan pelajar lebih terbuka menggerakkan politik kampus.

NONE Pelajar tahun akhir diploma sains perpustakaan, yang juga exco AIC, berkata ia juga bertujuan menggalakkan pelajar Unisel lebih berani bersuara tentang isu-isu semasa, termasuk isu dalam kampusnya di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Unisel, Profesor Madya Zainal Abidin Kidam dan sekumpulan pensyarah.

Desakan yang sama pernah disuarakan oleh pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat awal November lalu tetapi ia segera ditolak oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menteri besar Pakatan Rakyat.

Dalam surat bantahan 5 November lalu, mereka mendakwa Rosmah "tidak memiliki keunggulan keilmuan yang sewajibnya ada pada gedung ilmu."

Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, melantik Rosmah sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.

Ia diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS