Program kesihatan yang melibatkan jururawat bagi rawatan orang tua di Manek Urai bukan agenda kempen BN seperti didakwa oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
Bagaimanapun program yang diadakan sebelum penamaan calon Isnin lalu anjuran bersama Puteri Umno dengan kakitangan Kementerian Kesihatan, jelas pergerakan itu kepada Malaysiakini .
Ketua Puteri Kuala Krai, Suzaini Shukri berkata, program tersebut inisiatif Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, yang juga timbalan menteri kesihatan.
Katanya, program yang diadakan minggu lalu turut memberi kerusi roda kepada orang yang memerlukannya.
"Tiada salahnya program tersebut kerana ia dlakukan oleh kementerian kesihatan untuk membantu penduduk yang memerlukan rawatan.
"Doktor berkenaan bukan berkempen politik, sebaliknya membantu memberi rawatan kepada orang tua," katanya.
Beliau diminta mengulas dakwaan PAS bahawa Umno memperalatkan pelajar kolej kejururawatan di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu, bagi membantu kempen calon BN pada pilihanraya kecil tersebut.
Dalam dakwaannya, Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian mendakwa, Umno menggunakan institusi pengajian tinggi awam untuk berkempen.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Annuar Saffian pula berkata, memang ada doktor dan jururawat yang datang memberi khidmat kepada penduduk di Manek Urai, beberapa hari lalu tetapi "bukan berkempen untuk BN".
"Sebagai doktor dan jururawat pelatih tentulah mereka mahu mendapat pendedahan di luar. Namun Pemuda Umno tidak boleh paksa mereka kerana mereka terikat dengan peraturannya," katanya.
Pengarah Kolej Poly-Tech MARA di Pengkalan Chepa, Hasbullah Seman pula pelajarnya tidak terbabit dengan kempen politik Umno Manek Urai tetapi "terlibat dalam program anak angkat" Majlis Amanah Rakyat (MARA) di situ.
"Dakwaan jika pelajar saya berkempen untuk Umno adalah karut.
"Bagaimanapun pelajar ada terbabit dengan program anak angkat MARA di Manek Urai sebelum hari penamaan calon 6 Julai lalu," katanya kepada Malaysiakini .
"Program itu adalah untuk memberi pengetahuan kepada lepasan pelajar di Manek Urai mengenai peluang mereka di Poly-Tech Mara."