Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6.55pm Nasharuddin Mat Isa terus menjadi buruan media di Manek Urai apabila muncul ura-ura timbalan presiden PAS itu telah tiba di Kota Bharu pagi ini untuk berkempen di pilihanraya kecil DUN tersebut.

Beliau dijangka hadir di pasar Laloh petang ini bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas dilaporkan mendapat rawatan di Hospital Serdang semalam.

Sehingga jam 6.20 petang ini apabila program berakhir, walaupun dikatakan berada dalam senarai pemimpin yang dijadualkan hadir, Nasharuddin tidak kelihatan.

Nik Abdul Aziz bersama calon PAS Mohd Fauzi Abdullah dan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa tiba jam 5.40 petang.

Majlis pertemuan bersama kumpulan peniaga ikan itu disertai 500 orang, termasuk 200 pemborong dan peraih ikan.

Dalam ucapannya, Nik Aziz membidas BN yang didakwa "menghina" peniaga ikan susulan pemilihan Mohd Fauzi, juga bendahari PAS Kuala Krai, yang terlibat dalam pekerjaan itu sebagai calon.

"Kalau nabi (Muhammad) datang, dia (BN) hina juga, sebab nabi seorang pengembala kambing. Mana (lebih) baik, terima orang yang rasuah dengan seorang penjual ikan?" katanya.

Ditemui Malaysiakini selepas majlis tersebut, seorang pemimpin PAS berkata Nasharuddin masih keuzuran setelah pembedahan semalam.

Penasihat jentera pilihanraya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata ahli parlimen Bachok tidak jadi hadir petang ini dan merancang bertolak ke Manek Urai malam ini.

nasharuddin mat isa manek urai by election Sebelum solat Jumaat, media bergegas ke masjid Lata Rek apabila kedengaran ura-ura Nasharuddin akan bersolat bersama calon PAS, yang popular dipanggil Abe Uji, di situ.

Namun media hampa, ibarat menunggu buah yang tidak tidak gugur.

Mohd Fauzi, yang dijadualkan berada di kawasan tersebut, hadir bersama Nik Aziz yang turut menyampaikan khutbah.

Sebelumnya, dalam sidang media harian PAS, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Abdul Fatah Harun berkata kehadiran Nasharuddin sebagai sebahagian "strategi kejutan" parti untuk mengekalkan kemenangannya di Manek Urai.

Strategi yang sama termasuklah menaikkan poster Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang walaupun sebelum penamaan calon ketiadaan poster ahli parlimen Marang itu menjadi isu.

Abdul Hadi dan Nasharuddin menjadi fokus utama susulan sikap politik mereka yang bertentangan dengan Nik Abdul Aziz, yang juga mursyidul am PAS, berhubung kerajaan perpaduan.

Ketidakhadiran ahli parlimen Bachok untuk mengiringi Mohd Fauzi pada hari penamaan calon menimbulkan minat besar di kalangan pengamal media dengan masing-masing terus membuat spekulasi dan mendapatkan pengesahan punca "kehilangannya."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS