Nasharuddin Mat Isa akan berceramah satu pentas dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lama lagi selepas ketidakhadiran timbalan presiden PAS itu menjadi tanda tanya dan isu politik di Manek Urai.
Penasihat jentera pilihanraya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengesahkan Nasharuddin akan datang seawal-awalnya esok jika tiada aral melintang.
"Dia akan berceramah dengan Tok Guru Nik Aziz," katanya kepada Malaysiakini hari ini apabila diminta mengulas kemungkinan Nasharuddin turun berkempen setelah tidak muncul sejak hari penamaan calon pilihanraya kecil DUN itu, Isnin lalu.
Ditanya sama ada benar Nasharuddin, juga ahli parlimen Bachok, sedang dirawat di Hospital Serdang seperti dilaporkan di sebuah akhbar web, Wan Abdul Rahim berkata:
"Saya tak tahu, saya tak tanya dia."
Ketidakhadiran Nasharuddin menjadi isu apabila beliau pernah dikecam keras oleh Nik Aziz, juga mursyidul am PAS, susulan persetujuannya untuk meneruskan rundingan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Menteri besar Kelantan juga mendesak Nasharuddin melepaskan jawatan dalam parti dan ahli parlimen jika masih mendukung idea tersebut.
Kedua-duanya bagaimanapun telah berdamai pada 22 Jun lalu, tidak lama selepas mengeluarkan kecaman paling kerasnya terhadap pemimpin kanan PAS yang pro-kerajaan perpaduan.