Johari Kassim, yang dipecat daripada menjadi anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini memohon maaf
secara terbuka di atas kenyataannya terhadap kerajaan negeri dalam media masa baru-baru ini.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah membatalkan keputusan memecat Johari dan hanya menggantung perkhidmatannya selama sebulan.
Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman selepas Johari membuat permohonan maaf itu, dalam sidang akhbar yang sama.
"Parti (PKR) akan tulis surat untuk meminta Johari dilantik semula dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat exco secepat mungkin," katanya, lapor Bernama.
Mansor berkata keputusan itu dibuat selepas pemimpin PKR negeri mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam.
Sementara itu, Johari berkata masalah itu tidak akan berlaku jika sebarang keputusan yang dibuat melibatkan pentadbiran bersama dibincang dan dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang.
"Saya berharap kemelut peristiwa ini akan berakhir dan jalinan hubungan baik, adil dan telus akan terbentuk pada masa akan datang.
"Saya berharap semua pimpinan dalam pakatan pembangkang menghentikan sebarang serangan melalui media dan segala permasalahan perlu diselesaikan melalui meja rundingan Majlis Pakatan Rakyat," katanya.
Johari dipecat daripada menjadi anggota majlis pada 29 Jun lepas kerana mengetuai usaha memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, pada 4 Jun lepas.
Tindakan Johari itu sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan PKR berhubung pelantikan Mokhtar.