Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1: Berapa ramai yang sembuh?
Diterbitkan:  Jul 7, 2009 12:00 PM
Dikemaskini: Jul 8, 2009 5:28 AM

kemaskini 6.15pm Berapa ramaikah sebenarnya pesakit selesema A (H1N1) yang telah sembuh?

Semalam Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 343 orang atau 79 peratus daripada jumlah keseluruhan 434 orang telah berjaya dirawat dan dibenarkan keluar hospital.

Jumlah mereka yang sembuh dan dibenar meninggalkan hospital hari ini bagaimanapun menurun kepada "335 orang atau 72 peratus" daripada jumlah keseluruhan pesakit wabak tersebut.

"Daripada 468 jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang disahkan,

sejumlah 335 (atau 72 peratus) telah sembuh dan telah discaj daripada hospital," kata Liow dalam satu kenyataan.

"Baki pesakit yang sedang dirawat di hospital adalah berjumlah 133

orang."

Beliau juga dilaporkan berkata 34 lagi kes baru wabak selesema A (H1N1) disahkan hari ini, termasuk 12 kes penularan tempatan.

peningkatan mingguan kes selsema babi h1n1 060709 Daripada jumlah kes tempatan, dua orang lagi peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang hujung bulan lalu dijangkiti wabak tersebut - menjadikan semuanya 27 orang.

Kedua-duanya merupakan kontak kes ke-191, seorang pelajar 20 tahun warga Indonesia dari Bandung yang tiba 23 Jun lalu untuk menghadiri seminar di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kontak kepada 17 peserta APPC yang kemudiannya turut dijangkiti wabak.

Jumlah terbaru itu bersama 34 kes semalam - bilangan kes tempatan yang paling tinggi dalam sehari - menjadikan semuanya 113 kes sejak pertama kali dikesan 17 Jun lalu.

Seramai 133 pesakit masih dirawat di Hospital Sungai Buloh (13 orang), Hospital Kuala Lumpur (22), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (16), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (8), Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (1), Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh (3), Hospital Pulau Pinang (7), Hospital Tawau (7), Hospital Batu Pahat (4), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star (9), Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (3), Hospital Umum Sarawak (4), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (7), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (4), Hospital Labuan (2), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (3), Hospital Melaka (9), Hospital Tumpat (1), Hospital Bintulu (5) dan Hospital Miri (5).

Menurut kenyataan Liow lagi, 1,031 kontak sedang menjalani kurantin di rumah dan tiada di kalangan mereka yang mempunyai simptom.

"Sehingga jam 8 pagi hari ini, tiada sekolah baru yang ditutup kerana jangkitan influenza A (H1N1)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS