Persatuan Peniaga dan Penyembelih Babi Kedah meminta kerajaan negeri mencari lokasi baru bagi menggantikan tapak penyembelihan babi tidak berlesen di Kampung Berjaya yang dirobohkan minggu lalu.
Pengerusi persatuan itu, iew Lip Kooi berkata, pihaknya akan berjumpa dan berbincang dengan kerajaan negeri secepat mungkin kerana sehingga kini masih belum ada lokasi sesuai untuk mendirikan tempat penyembelihan baru.
"Tapak cadangan di Kampung Cina di Pendang telah ditolak dan kami berharap kerajaan negeri akan bantu kami cari tempat baru yang sesuai agar tidak timbul sebarang masalah," katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam Pejabat Daerah Pendang menolak cadangan pembinaan tapak penyembelihan babi di Kampung Cina kerana didapati tidak sesuai dan mendapat bantahan penduduk.
Menurut Pegawai Daerah, Abdul Shukor Abdul Ghani, hasil kajian
Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda mendapati lokasi itu tidak sesuai kerana terletak hampir dengan kediaman penduduk di situ.
Liew juga berkata pada masa ini peniaga terpaksa membawa daging babi dari Pulau Pinang untuk dipasarkan di Kedah.
Isu perobohan rumah sembelih oleh Majlis Bandaraya Alor Setar menjadi krisis politik yang besar dalam Pakatan Rakyat apabila DAP menarik diri daripada kerajaan negeri yang diterajui gabungan itu.