PAS mendakwa wujud "campur tangan politik" untuk meneruskan perbicaraan dalam keadaan tergesa-gesa terhadap empat pemimpin atasannya esok walaupun mereka sibuk berkempen di Manek Urai.
Seorang peguam kes tersebut Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi melahirkan "rasa kecewa dan terkejut dengan campur tangan politik yang sangat jelas ke atas badan kehakiman" berhubung perbicaraan kes perhimpunan haram di Parlimen, 11 Disember 2007.
Bendahari PAS Dr Hatta Ramli, Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan ahli jawatankuasa pusatnya Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali bersama enam yang lain ditahan dalam perhimpunan menyerahkan memorandum membantah pindaan undang-undang bagi melanjutkan tempoh persaraan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Suruhanjaya tersebut pada waktu itu dipengerusikan oleh Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman.
Ahmad Zamri, yang juga pengerusi lajnah guaman PAS Wilayah Persekutuan, berkata kes tersebut yang dijadualkan esok hingga Khamis telah ditangguhkan atas permintaan hakim kira-kira dua minggu lalu.
"Bagaimanapun, pada Jumaat (lalu) lebih kurang jam 12.00 tengahari, pihak mahkamah telah menghubungi peguam bela tertuduh dan memaklumkan bahawa mereka mendapat 'arahan' untuk meneruskan dengan perbicaraan sungguhpun hakim yang mengendalikan kes tersebut sepatutnya menghadiri kursus (di Melaka)," katanya.
"Perubahan arahan di saat akhir ini sangat meragukan dan menampakkan tekanan dan campur tangan politik yang cukup tidak bermoral ke atas kes ini, lebih-lebih lagi menjelang penamaan calon pilihanraya kecil DUN Manik Urai pada hari ini."
Hari mengundi pilihanraya tersebut yang menyaksikan persaingan penjuru antara calon PAS Mohd Fauzi Abdullah yang mempertahankan kerusi parti itu dengan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat jatuhnya pada 14 Julai.
DUN tersebut dalam kawasan parlimen Kuala Krai yang diwakili oleh Dr Hatta.
Ahmad Zamri menambah, PAS negeri berharap perbicaraan kes ini "dapat berjalan dengan seadil-adilnya dan tanpa gangguan dan campur tangan politik parti pemerintah".
"Sebab utama kes ini perlu sangat disegerakan oleh 'pihak atasan' amat diragui dan dipersoalkan, kerana dalam masa yang sama ribuan kes lain yang melibatkan nyawa dan hak asasi tertuduh masih belum lagi dibicarakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"(Tindakan) ini menunjukkan berlakunya pendakwaan terpilih-pilih yang sangat jelas dalam institusi kehakiman negara dan mengesahkan lagi pandangan umum bahawa insitusi kehakiman kita masih belum bebas sepenuhnya daripada tangan-tangan kotor parti pemerintah."