Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab menyuarakan rasa kesalnya dengan sikap Pemuda Umno yang didakwanya membuat kenyataan bohong berhubung insiden kekecohan dengan DAP dan PAS di pasar malam Taman Melaka Baru, semalam.
Sehubungan itu, Sofi menafikan tuduhan mereka bahawa PAS dan DAP membuat provokasi kepada Pemuda Umno sehingga terjadi pergaduhan semalam.
"Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana pihak kami langsung tidak membalas segala maki hamun yang dilakukan oleh (naib ketua Pemuda Umno bahagian), Mohd Jailani (Khamis) dan ahli-ahli pemuda Umno lain.
"Malah pemimpin-pemimpin dan penyokong PAS dan DAP hanya berdiam diri sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, Jailani bagaimanapun menafikan memaki Pemuda PAS dan polis.
Beliau bagaimanapun mengakui mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pemuda DAP.
Menurut Sofi lagi, beliau juga ingin memperbetulkan kenyataan pemuda Umno "bahawa kami tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan kempen pendaftaran pemilih baru".
'Mereka cemburu'
"Beberapa ahli kami yang bertugas (kelmarin) dilantik oleh SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) sebagai Penolong Pendaftar pemilih sementara mewakili parti-parti masing-masing.
"Malah kami mempunyai kad kuasa yang diberikan SPR sendiri," tambahnya.
Sofi juga menafikan dakwaan setiausaha Pemuda Umno Bukit Katil, Safrie Abdullah yang mereka melancarkan kempen menambah keahlian parti.
"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kempen tersebut bukannya untuk pendaftaran keahlian parti tetapi untuk pendaftaran pemilih baru.
"Tuduhan Safrie itu adalah berniat jahat dan tidak berasas sama sekali. Tidak ada sekeping pun borang keahlian parti yang kami bawa dalam program tersebut," katanya.
Sebaliknya, Sofi berkata beliau yakin tindakan pemuda Umno tersebut adalah kerana mereka cemburu dengan sambutan hangat rakyat yang datang mendaftar untuk menjadi pemilih berdaftar.
Menurutnya, dalam tempoh sebulan ini kira-kira 1,000 pengundi baru berjaya didaftarkan.