Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan seniman yang yang terlibat dengan gerakan reformasi 1998 akan bergabung tenaga dalam satu majlis khas malam esok untuk menyampaikan mesej kritikan politik dan sosial.

Lapan seniman tersebut akan menyampaikan bacaan sajak, lagu puisi serta persembahan komedi sebagai mengisi kekosongan "hiburan alternatif" di Malaysia untuk rakyat.

a samad said Sasterawan Negara A Samad Said yang terlibat mengerakkan demonstrasi behubung isu bahasa pada 7 Mac lalu, bekas aktivis pelajar sekitar 70-an Hishamuddin Rais dan penyair terkenal Pyanhabib, adalah antara yang akan menjayakan persembahan itu esok.

Manakala penyanyi Meor, Amin Iskandar, Mei Chern dan penyair Rahmat Haron akan turut membuat persembahan "Malam Seni Rakyat".

Amin, selaku jurucakap pihak penganjurnya - Cakap Group - berkata beberapa isu, antaranya bertemakan penentangan terhadap ISA dan sindiran terhadap konsep '1Malaysia' yang diilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan disentuh.

Amin berkata, mereka menganjurkan program itu bagi menyediakan ruang kepada artis alternatif untuk menyuarakan hasrat rakyat yang jarang mendapat tempat dalam media arus perdana dan tidak diambil kisah oleh kerajaan - sama ada BN atau Pakatan Rakyat.

"Di negeri Pakatan sekalipun, kita tidak nampak keseriusan untuk mengangkat hiburan alternatif. Mereka cuma hendak kitar semula artis lama yang sudah tidak laku di arus perdana," katanya

Menyifatnya perkara itu sebagai mentaliti Umno, Amin berkata, Cakap Group berharap, selain Kajang, ia dapat membuat persembahan yang sama di tempat-tempat lain di Selangor.

Hasil kutipan derma malam esok juga akan digunakan bagi membiayai penerbitan album reformasi - Dari Rakyat untuk Rakyat - yang kini sedang dalam pembikinan, katanya.

Malam seni rakyat - yang dianjurkan bersama Pejabat ADUN Kajang - akan berlangung di Dewan Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, bermula jam 9 malam. Masuk adalah percuma.

Ditubuhkan pada Disember tahun lalu, Cakap Rakyat merupakan gabungan longgar beberapa seniman bagi menyuarakan isu-isu rakyat melalui wadah seni.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS