Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang mahasiswa yang dicari bagi membantu siasatan kes menconteng dan dakwaan cubaan membakar di sebuah dewan Universiti Malaya (UM), belum bersedia menyerahkan diri kepada polis.

"Walaupun saya tegar memegang pada prinsip berani kerana benar, namun peguam telah menasihati saya supaya tidak menyerah diri kepada pihak polis pada masa sekarang atas pertimbangan- pertimbangan tertentu," kata Shazni Munir Mohd Ithnin.

"Saya nak tanya pihak polis, atas alasan apa untuk terus-terusan mencari saya sebagai suspek? Sebab saya konsisten menentang kerajaankah?

"Atau sebab saya ini presiden PMIUM dan mereka yang dituduh ahli PMIUM? Macama tu ke? Atau bagaimana?"

shazni-munir-mohd-ithnin Shazni Munir, yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), bersama Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani dicari polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API), 24 Jun lalu.

Selain contengan "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya", polis juga mengesan simbahan petrol di permaidani yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor untuk menghadiri satu program di situ beberapa jam selepas kejadian jam 4 pagi itu.

Kelmarin, dua lagi pelajar API Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dihadapkan ke mahkamah berhubung insiden tersebut yang dipercayai dilakukan oleh lima orang – termasuk tiga suspek yang dikehendaki polis.

Menulis di blognya Perubah Zaman , Shazni Munir sebaliknya menuntut Rosmah yang didakwanya melaku "dosa-dosa besar" diseret bersama ke muka pengadilan dalam kesnya.

"Ya, baru adil, kerana Rosmah dan saya sama-sama bebas sekarang," katanya.

Beliau mengakui memang menentang isteri Datuk Seri Najib Razak berdasarkan kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin – mengaitkan Rosmah dengan pembuhan Altantuya Shaariibuu – dan tiga klip video yang memburuk-burukkan wanita pertama negara.

Rosmah menafikan pembabitan dengan wanita Mongolia itu tetapi masih berdiam diri berhubung dakwaan-dakwaan berat dalam dokumentari pendek di Youtube.

Semalam, menulis di blognya, Shazni Munir memberi amaran untuk melancarkan bantahan besar jika UM mengambil tindakan tatatertib terhadap dua rakannya yang telah dituduh.

Sehubungan itu, PMIUM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.

"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," katanya.

"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."

Hari ini, pentadbiran UM menafikan telah memecat dua pelajar yang dihadapkan ke mahkamah, sekali gus menafikan tulisan di laman web Mahasiswakini .

Difahamkan, universiti itu sedang menunggu maklumat lanjut daripada mahkamah sebelum memutuskan tindakan seterusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS