Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7.44pm Isu kerajaan perpaduan rupa-rupanya belum reda dalam PAS dan mudah mencetuskan pergeseran kembali di kalangan kumpulan yang menyokong dan membantahnya.

Mangsa terbaru melibatkan artikel ahli jawatankuasa pusatnya Dr Dzulkefly Ahmad di akhbar web rasmi PAS Harakahdaily yang tiba-tiba lesap tidak boleh dibaca lagi hari ini.

Artikel bertajuk "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" dimuatkan tengah hari semalam tetapi ditarik balik susulan bantahan seorang pemimpin kanan parti yang turut menguasai sidang pengarang Harakah .

dr zulkiflli's article removed by harakah Masa dan tarikh ia dibuang daripada edisi internet itu tidak dapat dipastikan tetapi ia menjadi buah mulut di kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri, termasuk di internet.

Artikel yang sama dihantar untuk edisi terbaru akhbar rasmi PAS tetapi difahamkan nasibnya sama dengan edisi dalam talian di laman web tersebut - ditarik balik walaupun telah dicetak, sebahagiannya.

Saranan mengadakan perbincangan kerajaan perpaduan PAS-Umno bermula Februari lalu lagi tetapi menonjol lebih jelas di muktamar ke-55 kira-kira sebulan lalu sehingga diredakan 22 Jun apabila ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat menolaknya.

Dr Dzulkefly, dalam artikel itu mengulas, penolakan terhadap kerajaan perpaduan bukan kerana ia sukar dilaksanakan atau kerana ditolak parti lain yang bergabung dalam Pakatan dan BN.

Sebaliknya, bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, penolakan terhadap idea itu berasaskan tiga sebab:

bullet button Kerajaan perpaduan dalam apa jua bentuknya berlawanan dengan pembangunan politik baru Malaysia sejak Mac 2008, yang cenderung ke arah sistem dua parti – BN lawan Pakatan.

bullet button Bersandarkan kaedah usul fekah, PAS sebagai gerakan Islam harus menolak mudarat (pengaruh parti merosot sejak pilihanraya umum lalu) berbanding mengejar kemaslahatan (mengatasi krisis dalam negara).

bullet button Berdasarkan pengalaman pahit PAS bersama Umno selama ini, perbincangan kerajaan perpaduan hanya akan memberi manfaat yang cukup besar kepada Umno tetapi pada masa yang sama merugikan PAS dan Pakatan.

Dr Dzulkefly memulakan hujahnya dengan menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan, walaupun disuarakan Abdul Hadi, tetapi menyanggahnya bukan bermakna tidak wala' (setia) atau kurang hormat kepada presiden parti.

"(Idea Abdul Hadi) cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya.

"Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai utopian atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik ... seperti di negara ini," coretnya.

dr zulkifli's article removed by harakah Walaupun berhujah dengan lembut di permulaan tulisannya, pakar toksikologi itu mengemukakan kritikan pedas di penghujungnya.

"Kerajaan perpaduan seumpama suntikan booster (pendorong) untuk Umno dan BN terus mendapat talian hayatnya.

"Sementara (ia menjadi) suntikan racun kepada PAS dan Pakatan," katanya lagi dalam tulisan tersebut, yang masih boleh dibaca di blognya.

Pada 18 Jun, Dr Dzulkefly antara sepuluh wakil rakyat PAS yang mengeluarkan kenyataan bersama menolak idea kerajaan perpaduan di lobi Parlimen.

Kemunculan singkat "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" mengundang ulasan di Internet.

"Sepatutnya perkara ini ditutup dan semua pihak berlapang dada. Kalau dibangkit semula (seperti artikel Dr Dzulkefly) untuk berhujah, akan ada kumpulan yang menyokong kerajaan perpaduan mengemukan hujahnya.

"Sampai bila isu ini akan selesai?” soal blog Polis Pencen , yang disebar lebih meluas di Tranungkite.net dan Utaraonline.net .

"Kenapa Dr Dzulkefly memilih untuk mengapi-apikan semula isu ini. Apakah sebenarnya motif penulis dalam hal ini?"

Malaysiakini difahamkan tulisan pedas itu sepatutnya dimuatkan dalam sisipan Fikrah Harakah edisi Jumaat yang akan menemui pembaca esok.

Sumber-sumber memberitahu, percetakan sebahagian naskhah sisipan itu terpaksa dihentikan supaya artikel ahli parlimen Kuala Selangor itu dapat dibuang.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan penulis dan sidang pengarang Harakah berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS