Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Himpunan pakatan pembangkang, yang diuar-uarkan ingin menjelaskan isu kerajaan perpaduan PAS-Umno malam tadi, berakhir tanpa menyentuh langsung isu kontroversi itu.

Berucap di hadapan kira-kira 4,000 penyokong, tokoh-tokoh atasan Pakatan Rakyat yang berucap hanya mengambil peluang menghentam BN dan mempertegaskan perpaduan di antara parti dalam gabungan itu – PKR, DAP dan PAS.

Dalam majlis itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang baru menyertai PKR membuat penampilan pertamanya dalam majlis anjuran bersama Pakatan.

Walaupun tidak berucap, beliau nyata mendapat tepukan gemuruh apabila kehadirannya dimaklumkan.

pakatan rakyat gathering 010709 crowds.jpg Hadir dalam majlis itu, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tampil awal, Lim berkata, hampir seratus hari Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri keenam, beliau gagal memberikan harapan baru kepada rakyat.

"Hari ini (semalam) 88 hari Najib jadi perdana menteri. Bagi orang Cina, (88) ini angka yang baik. Tetapi setelah 88 hari, adakah zaman baru, apakah harapan baru yang diberikan oleh Najib?

"1Malaysia yang dilaungkan sepatunyatnya menjadikan Malaysia negara yang lebih maju," katanya, sambil memperli gagasan itu sebagai "simbol yang retak" dan hanya diisi dengan "nyanyian dan tarian".

Sementara Abdul Hadi pula berkata, hubungan parti dalam Pakatan sentiasa baik sejak berdepan dengan BN dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Bagaimanapun, tambahnya, media pro-BN sentiasa melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan walaupun kadang-kadang cuma mempunyai perbezaan pendapat yang kecil.

"Malam ini dengan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin pusat, ia membuktikan perpaduan di antara kita. Walaupun kadang-kadang kita berbeza pendapat, tetapi kita boleh bersatu kembali dalam masa 20 minit.

"Umno sudah 20 tahun, sesama dia tak selesai-selesai," katanya disambut tepukan gemuruh.

Menurutnya lagi, idea perpaduan melalui konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Najib telah gagal menyatupadukan rakyat, termasuk sesama parti-parti komponennya sendiri.

Anwar pula memulakan ucapannya dengan mempertegaskan pendirian Pakatan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) supaya dasar kontroversi itu dimansuhkan di semua peringkat.

Beliau turut menyentuh isu pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang yang disifatkannya sebagai "menggunakan laluan jauh", sekali gus kosnya akan dibebankan kepada rakyat.

"Orang biasanya buat jambatan ambil jalan paling dekat, antara tebing ke tebing. Ini tidak, ikut jalan jauh. Sudah tentu kosnya tinggi.

"Siapa hendak bayar? Sudah tentu akan guna duit rakyat. Saya nak tanya, kenapa nak sangat jambatan panjang?" katanya disambut ketawa kecil hadirin.

pakatan rakyat gathering 010709 pakatan leaders.jpg Mengulas isu Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), beliau menyatakan kekecewaannya terhadap jawapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang Parlimen semalam.

Anwar memperli menteri berkenaan yang menurutnya memaklumkan, kerajaan manahan anggota Jemaah Islamiah (JI) berdasarkan alasan "dipercayai" terlibat dengan sel dan kegiatan pengganas.

"Dipercayai mengutip wang untuk membeli senjata. Dipercayai pernah bertemu pemimpin al-Qaeda. Dipercayai, dipercayai. Beli belum, senjata jenis apa tak tahu lagi," katanya sambil menekankan perkataan "dipercayai".

"Dahulu semasa saya jadi timbalan perdana menteri, dengan kawan lama saya (Tun Dr Mahathir Mohamad) tu, apa nama, saya pergi ke sempadan Afghanistan jumpa pemimpin Mujahidin. Ini cukup point nak bawa saya masuk dalam (ISA)."

Mengulas laporan polis Pemuda Umno terhadap Nik Aziz, Anwar menyifatkan pergerakan itu sebagai "budak-budak angkuh" yang "ada kuasa dia ingat boleh buat apa sahaja."

Dalam program yang sama, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) turut mengambil peluang mengumumkan perhimpunan besar menentang akta kontroversi itu pada 1 Ogos ini, sekali gus melancarkan kempennya.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh, setelah berucap pendek, mengalungkan mafla merah bertulis "No to ISA" kepada semua pemimpin Pakatan yang hadir serta melepaskan dua ekor merpati putih sebagai simbol kebebasan yang diperjuangkan mereka.

Dalam ucapannya, Syed Ibrahim berkata, setelah genap "umur persaraan awal" 49 tahun apabila ISA diluluskan, gabungan NGO itu berazam memberikan "pencen terus" kepada akta itu selepas perhimpunan Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS